Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Dengan matlamat memperkasakan pembangunan pelajar melalui persekitaran pembelajaran yang berkesan, Sekolah Menengah Masin (SMM) telah mengungkayahkan program Student Learning Showcase bagi pelajar-pelajar Tahun 10 di dewan serba guna sekolah tersebut pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan program itu ialah Ketua Bahagian Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Nisah binti Haji Gharif dengan dialu-alukan oleh Pengetua SMM, Hajah Norwen binti Haji Brahim.
Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Norwen antara lain menjelaskan bahawa program berkenaan menampilkan lapan buah kelas Tahun 10 dalam mempamerkan projek-projek mereka secara berkumpulan dengan pelbagai idea kreatif berasaskan hasil pembelajaran dalam kelas masing-masing.
Projek-projek yang dipamerkan merangkumi Projek Sastera dan Tarian di bawah subjek Bahasa Melayu, Projek Common Public Transportation in Tourism di bawah subjek Travel and Tourism, Projek Active Reading di bawah English Language, Food and Nutrition, Combined Science, Pertanian, Melayu Islam Beraja (MIB), berkaitan Makanan Tradisi Brunei, Projek Praktikal Lambaian Kaabah di bawah subjek Pengetahuan Ugama Islam, dan Projek Khidmat Cuci Kereta bagi subjek Life Skill.
“Sepanjang program ini dijalankan, pihak sekolah dapat melihat bagaimana pelajar-pelajar dapat mengintegrasikan kemahiran-kemahiran asas abad ke-21 iaitu 5C (Communication, Creative Thinking, Critical Thinking, Curiosity, dan Collaboration).
“Ini menunjukkan pelajar-pelajar sekolah ini mampu membuat sesuatu yang luar biasa bak kata peribahasa Melayu ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Hajah Norwen turut menaruh harapan agar program berkenaan dapat memberi impak positif atau manfaat sebaik-baiknya kepada semua pihak yang terlibat mahu pun mereka yang menyaksikannya.
Antara yang turut hadir menyaksikan program berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Jumata Sonadey bin Haji Mornie, guru-guru besar sekolah-sekolah Kluster 4, pegawai-pegawai Jabatan Sekolah-sekolah, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMM, timbalan-timbalan pengetua SMM, guru-guru dan para pelajar sekolah tersebut.