Gambar serahan SMMH Tutong
TUTONG – Berbekalkan usaha dan kecekalan hati setelah sekian lama belajar bersungguh-sungguh demi mencapai impian yang diharapkan, akhirnya para pelajar mampu mencapai keputusan yang cemerlang.
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Muda Hashim (SMMH) yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE Level 2021, telah diraikan dalam Majlis Graduasi dan Penyampaian Hadiah Akademik Bagi Pelajar Cemerlang Tahun 10xp dan Tahun 11 sesi 2021 yang berlangsung di Dewan Jubli, SMMH, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Kampung Keriam, Haji Bahrin bin Haji Bolhassan dan turut dihadiri ketua kluster, jemputan-jemputan khas dan ibu bapa dan penjaga pelajar.
Dalam ucapan Pemangku Pengetua SMMH, Hajah Adimah binti Haji Said, menyentuh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dihadapi semasa melaksanakan pembelajaran secara tidak bersemuka, keputusan BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE Level 2021 menunjukkan peningkatan dan merupakan pencapaian peratus tertinggi bagi rekod sekolah berkenaan.
Yang mana seramai 63 orang pelajar atau 61.76 peratus mendapat keputusan 5 ‘O’ Level ke atas.
Beliau juga menyentuh mengenai peningkatan peratus dalam tiga mata pelajaran yang mencapai 100 peratus gred A-C iaitu Kesusasteraan Melayu, Additional Mathematics dan Physics.
Semasa majlis berkenaan, tiga orang pelajar telah menerima Anugerah Khas Most Improved Student An Najihun iaitu Awang Abdul Zharfan@Abdul Musyrif bin Adinin, Awangku Mohammad Hakimin bin Pengiran Mohamad Alimin dan Awang Mohammad Aris Azwan bin Haji Mohamad Rossdi. Manakala Anugerah Khas Program Pendidikan Holistik SMMH telah dianugerahkan kepada Awangku Muhammad Arshul Haziq bin Pengiran Amirrulizam.
Acara tesebut diadakan adalah sebagai pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang mencapai tahap cemerlang serta dalam usaha pihak sekolah untuk menyuntik semangat pelajar agar terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.
Di samping itu pihak sekolah juga memberikan sijil penghargaan kepada guru-guru yang mengajar Tahun 10xp dan Tahun 11 di tahun 2021 sebagai tanda terima kasih pihak sekolah terhadap usaha dan sumbangan guru-guru dalam memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak didik mereka.