Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Delegasi Sekolah Menengah Muda Hashim (SMMH) yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 9 dan 10 berserta pengetua dan dua orang guru sekolah berkenaan berlepas ke Republik Singapura bagi menyertai Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Menerusi program yang diselaraskan oleh Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan itu, delegasi SMMH akan menyertai program berkembar di Montford Secondary School (MSS), Republik Singapura, selama lima hari bermula 9 Julai hingga 13 Julai.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang.
Turut hadir di lapangan terbang berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan para ibu bapa serta ahli keluarga pelajar.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, salah seorang pelajar, Awangku Muhammad Khairul Nazran bin Pengiran Radin menyatakan semasa menyertai program berkenaan, mereka akan menyertai beberapa aktiviti yang dikendalikan bagi membina semangat kerja berpasukan dan membina keyakinan diri mereka.


Semasa program itu juga, jelasnya, mereka akan berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat cara pembelajaran yang dikendalikan di sekolah itu serta menyertai dalam pelaksaan projek bersama pelajar-pelajar MSS.
Menerusi penyertaannya dalam lawatan dan program itu, Awangku Muhammad Khairul Nazran berharap akan dapat menambah lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk dikongsikan kepada negara dan sekolah apabila kembali nanti.
Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura pada 2024 merupakan pusingan kedua diadakan, di mana pusingan pertama telah diadakan pada 2018 hingga 2019.
Lawatan itu diharap akan dapat meningkatkan lagi hubungan erat dan kerjasama yang sedia ada di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Semasa lawatan itu nanti, para pelajar akan berpeluang untuk menyaksikan secara lebih dekat pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah berkenaan, selain berpeluang bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dengan mengikuti sesi pembelajaran serta aktiviti kokurikulum bersama rakan-rakan pelajar dari MSS.
Di samping itu, para pelajar juga akan berkesempatan untuk melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Singapura bagi mempelajari sejarah dan kebudayaan di sana.

