Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Dalam usaha menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim, Riadah Perlawanan Futsal Persahabatan telah diadakan baru-baru ini di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM) Mentiri.
Riadah Perlawanan Futsal Persahabatan dianjurkan bersama oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, A Hamidun bin Mohd Daud yang juga Ketua Kampung STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging); Ketua Kampung RPN Tanah Jambu, Pengiran Mazrawi bin Pengiran Haji Mahmud; dan Pemangku Ketua Kampung RPN Panchor Kawasan 3 (1), Mohd Hilmy bin Haji Ahmad.
Program berkenaan turut disokong oleh SMPDSM Mentiri melalui Pengetua Sekolah tersebut, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus.
Perlawanan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada A Hamidun yang memberikan kata-kata semangat kepada peserta perlawanan dan seterusnya menyampaikan cenderahati kepada Guru Kanan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar, Headillah bin Zainuddin, bagi pihak SMPDSM Mentiri.
Inisiatif itu dihasrat akan memberikan kesan positif dan memupuk kesedaran agar sentiasa mengekalkan gaya hidup yang sihat dan ukhuwah yang tinggi dalam kalangan pemimpin, ahli MPK serta guru-guru sekolah keseluruhannya.
