Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Sebagai penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level tahun 2018, seramai 95 pelajar Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SMPJNPHAB), Kuala Belait telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Akademik dan Graduasi di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad yang dialu-alukan oleh pengetua sekolah berkenaan, Chin Ai Fong.
Turut hadir ialah pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkenaan, Awang Iskandar bin Haji Alias; Timbalan Ketua Akademik, Gudaihenah Yadai; Timbalan Pengetua Pentadbiran,Dayang Jumimah binti Haji Jumat; ahli jawatankuasa tertinggi PIBG; guru-guru, ibu bapa dan penjaga serta pelajar sekolah.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya oleh pelajar sekolah.
Semasa majlis tersebut, pengetua sekolah berkenaan turut berkongsi pencapaian kejayaan para pelajar dalam peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level tahun 2018 dan mengucapkan tahniah kepada mereka atas kejayaan membanggakan yang diraih.


“Kami akan terus mengekalkan momentum dengan terus menyediakan strategi terbaik untuk membantu meningkatkan lagi pencapaian akademik yang berprestij yang dibuat oleh semua pelajar kami,” jelasnya lagi.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil dan trofi kepada para pelajar yang telah meraih keputusan 5 ‘O’ dan ke atas dalam peperiksaan berkenaan yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. Selain itu, tiga pelajar terbaik dalam Penilaian Progresif (SPA) 2018 juga telah menerima anugerah masing-masing.
Sebagai penghargaan kepada jasa dan usaha warga sekolah berkenaan dalam mencapai kejayaan tersebut, satu siri anugerah juga diberikan kepada guru yang telah membantu dan menyokong pelajar mereka untuk mencapai gred tinggi dalam peperiksaan tersebut.