BELAIT, 1 MEI – Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SMPJNPHAB) telah mengadakan Majlis Graduasi Tahun 11 untuk meraikan seramai 57 pelajar yang telah berjaya memperolehi 5 kepujian dan ke atas dalam peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat ‘O’ Oktober/ November 2024 yang bertempat di dewan sekolah tersebut baru-baru ini.
Hadir sebagai tetamu kehormat majlis adalah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Yang Mulia Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad sambil diiringi oleh pengetua sekolah, Claxairi Lasit dan juga para timbalan pengetua, guru-guru kanan serta para graduan kelas tahun 2024 dengan alunan Zikir Tala Al Badru Alayna yang dipimpin oleh Cikgu Haji Erman bin Haji Ali.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Dayang Noorhawanie Binti Hj Ayub, pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan para ibu bapa dan juga penjaga serta warga sekolah.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, bacaan Surah Al-Fatihah serta doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Hj Zulkernain Bin Hj Abdullah, diikuti dengan bacaan Al-Quran dan terjemahannya oleh wakil pelajar iaitu Azam Muzzafar Bin Azmandi, Achmad Rizqi Nur Iqbal Bin Jeffery dan Muhammad Ahza Wali Bin Md Azman.
Pengetua sekolah telah menyampaikan ucapan alu-aluan dengan ucapan tahniah kepada para graduan dan guru-guru dan turut mengongsikan keputusan akademik BCGCE ’O’ level 2024 secara keseluruhan bagi Tahun 11 telah mencapai purata 39.76 peratus bagi pusat BN304, menandakan peningkatan dari tahun sebelumnya dan keputusan purata keseluruhan akademik bagi calon BN306 ialah 100%.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan agar sentiasa bersedia, meningkatkan disiplin diri, belajar dengan tekun, tingkatkan keyakinan diri, bijak membahagikan masa dan sentiasa konsisten dalam mengulang kaji pelajaran untuk mendapat keputusan yang cemerlang..
Tayangan video penghargaan daripada para graduan turut diadakan menggambarkan perjalanan suka duka yang dilalui bersama dengan guru dan rakan seperjuangan.
Acara kemuncak diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil oleh tetamu kehormat kepada enam orang pelajar Tahun 8 yang menunjukkan kejayaan dalam School Progress Assessment (SPA) Tahun 2024 dan seramai 57 pelajar BC GCE ‘O’ Level 2024 yang berjaya mendapat 5 kepujian ke atas.
Guru-guru Tahun 8 dan Tahun 11 sesi tahun 2024 juga tidak ketinggalan untuk diraikan setelah pencapaian melebihi sasaran sekolah dan melebihi purata kebangsaan bagi kedua-dua peperiksaan iaitu SPA dan BC GCE O Level.
Tuan Pengetua telah menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat atas kesudian hadir ke majlis tersebut. Majlis diserikan lagi dengan ucapan daripada penuntut cemerlang BN306 dan BN304 yang mengongsikan kejayaan mereka dan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain. Para graduan juga turut mempersembahkan lagu sekolah dan diikuti dengan bacaan doa penutup majlis.
Acara diakhiri dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat dan para jemputan serta para graduan sebelum disusuli dengan jamuan ringan.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SMPJNPHAB