Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Hasil kutipan SMS Brunei Prihatin yang dikumpulkan pada tahun 1444H/2023M daripada syarikat-syarikat telekomunikasi telah berjaya mengumpul sebanyak $95,946 dan sebanyak $12,000 adalah sumbangan daripada pegawai dan kakitangan syarikat-syarikat telekomunikasi.
Hadir bagi menerima hasil kutipan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Daripada jumlah tersebut Datastream Digital Sdn Bhd (DST) berjaya mengumpul sebanyak $84,118. Sebanyak $74,118 adalah hasil kutipan daripada pelanggan DST dan sejumlah $10,000 adalah sumbangan daripada pegawai dan kakitangan DST yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni.
Progresif Sdn Bhd berjaya mengumpul sejumlah $22,828. Sebanyak $2,000 adalah sumbangan daripada Progresif dan $20,828 adalah sumbangan daripada pelanggan Progresif. Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Pentadbiran Progresif Sdn Bhd, Awang Abdul Hakeem bin Haji Basir.
imagine Sdn Bhd pula berjaya mengumpulkan sebanyak $1,000 yang disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Perniagaan Enterprise, imagine, Haji Mohd Radziman bin Haji Badul Rahman.
Sehubungan itu, majlis terdahulu menyaksikan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), DST, Progresif dan imagine telah melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim 1445H/2024M hari ini bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.
Kutipan derma melalui SMS yang dilancarkan pada hari ini akan berlangsung selama sembilan bulan bermula hari ini dan berakhir pada 5 Disember 2024. SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, RTB dan syarikat telekomunikasi sejak tahun 2005 bagi membuka platform untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah Pendaftaran Kebangsaan Anak-anak Yatim. Sejak platform ini dibukakan, sambutan daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis dan pengerusi-pengerusi bersama SMS Brunei Prihatin; Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Cheong Chee Kong, dan Awang Abdul Hakeem.




