Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid dan Majlis Penerimaan Kutipan Sumbangan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam bagi 2025 telah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei, Cheong Chee Keong serta para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU.
Mengiringi tetamu kehormat bagi pelancaran SMS tabung dana tersebut ialah Pengarah Urusan Jualan Data Stream Digital Sdn Bhd (DST), Awang Harpan bin Haji Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Dayang Nurul Haniah binti Haji Jaafar dan Naib Presiden Kanan Syarikat imagine Sdn Bhd, Haji Mohd Radziman bin Haji Abdul Rahman; serta Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid selaku Ketua Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Sementara itu, pada majlis penerimaan sumbangan, Awang Harpan telah menyerahkan sumbangan kutipan SMS sebanyak $162,761. Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sumbangan dari DST sebanyak $10,000 untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Manakala Progresif Sdn Bhd yang diwakili oleh Dayang Nurul Haniah pula menyerahkan hasil kutipan SMS sebanyak $39,641 dan hasil sumbangan daripada Progresif sebanyak $1,000 turut diserahkan.
Sementara Syarikat imagine Sdn Bhd yang diwakili oleh Haji Mohd Radziman menyerahkan $3,273 hasil daripada kutipan SMS tabung dana masjid yang disumbangkan oleh pelanggan dan kakitangan syarikat berkenaan.
Pelancaran dana tersebut memberi peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menginfakkan harta yang dimiliki dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT kepada orang-orang yang membina masjid.
Sejak perkhidmatan kutipan sumbangan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dibukakan melalui perkhidmatan SMS dari tahun 2015 hingga 28 Februari 2025, tabung dana tersebut telah mengutip sebanyak $2,112,306.
Orang ramai kini sekali lagi berpeluang untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan SMS bagi tempoh 10 bulan bermula 27 Mac hingga 31 Disember.
Sumbangan seangkat-angkat hati boleh diberikan melalui perkhidmatan SMS dengan menaip MASJID dengan diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, manakala 39999 bagi pengguna imagine Sdn Bhd.
Sehingga bulan Februari 2025, jumlah baki keseluruhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam adalah sebanyak $27,986,543.29.
Sejak awal penubuhan Tabung Dana sehingga kini, Tabung Dana telah berjaya melaksanakan tiga buah projek pembinaan masjid baharu, satu projek tambahan bangunan masjid serta tiga projek pemuliharaan dan ketika ini, sebuah projek tambahan bangunan di Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong sedang giat dilaksanakan.
Insya Allah projek seterusnya ialah pembinaan Masjid Baru Kampong Lamunin, Daerah Tutong. Kemajuan yang dicapai adalah merupakan sambutan, komitmen dan sumbangan seangkat hati orang ramai terhadap Tabung Dana ini dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT jua. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita semua.
Sejumlah $215,975.00 telah berjaya dikutip melalui penerimaan sumbangan Pesanan Ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang telah dibukakan selama 10 bulan bermula 27 Februari 2024 hingga 26 Disember 2024 yang lalu.