Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMS tabung dana masjid mula dibukakan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Orang ramai sekali lagi berpeluang untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bagi tempoh selama 10 bulan, bermula hari ini hingga 26 Disember.
     
    Majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan telah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
     
    Dengan pelancaran itu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dengan menaip MASJID diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, manakala 39999 bagi pengguna imagine Sdn Bhd. 
     
    Majlis turut menyaksikan penerimaan kutipan sumbangan perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam untuk tahun 2023 yang mana sebanyak $245,448 telah berjaya dikutip bagi tempoh sembilan bulan dari 21 Mac hingga 20 Disember 2023.
     
    Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn Bhd, Radin Sufri bin Radin Basiuni telah menyerahkan hasil kutipan SMS berjumlah $210,619 dan sumbangan daripada DST Sdn Bhd sebanyak $10,000 untuk tabung berkenaan.
     
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin melancarkan Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid untuk tahun 2024. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Radin Sufri menyerahkan kutipan derma selama sembilan bulan untuk 2023 kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Progresif Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Pentadbiran, Awang Abdul Hakeem bin Haji Basir pula telah menyerahkan kutipan berjumlah $31,858. 
     
    Sementara itu, imagine Sdn Bhd yang diwakili oleh Awang Mohamed Hazman bin Dato Paduka Haji Awang Othman telah menyerahkan kutipan berjumlah $2,971.
     
    Sejak perkhidmatan kutipan sumbangan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dibukakan melalui SMS dari 2015 hingga 2023, tabung berkenaan telah berjaya mengutip sebanyak $1,907,331.
     
    Penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala dengan membina masjid, sekali gus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat. 
     
    Pelancaran dana tersebut memberikan peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menginfakkan harta yang dimiliki dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang membina masjid. 
     
    Sehingga Januari 2024, baki keseluruhan tabung berkenaan ialah sebanyak $25,338,123.27. 
     
    Majlis pelancaran perkhidmatan SMS tersebut diserikan dengan tayangan klip video Promo Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.
     
    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku Ketua Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda