Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Seramai 46 pelajar Sekolah Menengah Sultan Hassan Temburong (SMSHT) telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil bagi Pelajar-pelajar Cemerlang dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat O, IGCSE dan BTEC bagi 2023 yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.
Pengetua SMSHT, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, majlis anugerah akademik itu merupakan majlis khas untuk meraikan para pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2023.
Ia juga bermatlamat untuk memberikan dorongan dan motivasi kepada mereka supaya terus berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan program-program yang berkaitan.
Beliau turut tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan kerana telah menyediakan perkhidmatan kenderaan bagi pelajar-pelajar Tahun 11 lepas yang menghadiri kelas tambahan yang dikendalikan oleh pihak sekolah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan anugerah kepada guru-guru yang telah mencapai peratus terbaik dalam setiap mata pelajaran yang diajar bagi BC-GCE Peringkat O dan IGCSE bagi 2023.
Pada majlis itu, Dayang Nur Izz Farahiyah Hasna’ binti Jeludin dinobat sebagai penerima hadiah cemerlang secara keseluruhan dan mendapat Anugerah Pengetua.
Beliau memperolehi keputusan yang sangat cemerlang dalam mata pelajaran Biology, Chemistry, Physics, Geography, Pengetahuan Ugama Islam, Mathematics dan keputusan sangat baik dalam mata pelajaran English Language, Bahasa Melayu dan Additional Mathematics.
Di samping itu, pemandu-pemandu bas yang telah menjadi tulang belakang pelajar yang mengikuti kelas tambahan lepas turut diraikan dan diberikan sijil atas jasa dan tenaga yang disumbangkan dalam menjayakan inisiatif sekolah.