Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) muncul sebagai juara keseluruhan apabila memenangi kategori pasukan lelaki dan perempuan bagi Kejohanan Senaman Sekolah-sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam, 2023.
Awangku Muhammad Rayyan Izzuddin bin Pengiran Mas’sof’fian dari Sekolah Rendah (SR) Tungku muncul juara bagi Pertandingan Kemahiran Asas Sepak Takraw, manakala naib johan ialah Muhammad Abi Hurairah bin Md Huzaimi dari SR Tungku dan tempat ketiga dimenangi Muhammad Danial Fikri bin Awang Mohd Azmi dari SR Binturan.
Hadir menyempurnakan penyampai-an hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat pada majlis yang diadakan di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Jalan 49, Perpindahan Lambak Kanan, hari ini.
Pemangku Ketua Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamad Nadzri bin Haji Mohamad Adnan dalam ucapan ringkasnya mengatakan, pertandingan dan kejohanan itu bertujuan untuk membentuk dan melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, mental, rohani dan sosial, mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam sukan sepak takraw serta memperkenalkan pergerakan asas senaman yang betul dan selamat kepada para pelajar.
Ia juga dihasratkan menggalakkan pelajar mengamalkan aktiviti senaman secara konsisten, menyokong Program Pembangunan Berdaya Tahan dalam memastikan kehidupan yang sihat serta menggalakkan kesejahteraan untuk semua lapisan umur.






SR Lambak Kanan Jalan 49 telah mencatatkan penyertaan terbanyak sekolah bagi pertandingan berkenaan.
Manakala itu, bagi Kejohanan Senaman Sekolah-sekolah Rendah, Kategori Pasukan Lelaki, naib johan di-sandang SR Pantai Berakas dan tempat ketiga dimenangi SR Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Tutong.
Dalam Kategori Pasukan Perempuan pula, SR Sengkurong menyandang naib johan dan tempat ketiga dimenangi SR Masin.
Bagi Guru Senaman Terbaik (Pasukan Perempuan) pula dimenangi oleh Joseph Machado Cabrera dari SMSIS dan Guru Senaman Terbaik (Pasukan Lelaki) ialah Amyzee Anak Roberd dari SR Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang. Majlis turut diserikan dengan tayangan video johan pertandingan kemahiran asas sepak takraw 2023 dan persembahan johan kedua-dua kategori.

