Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMSIS lancar Unit Pembelajaran Digital

    Oleh Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dalam mengadaptasi pembelajaran secara digital dengan lebih meluas, Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) telah melancarkan Unit Pembelajaran Digital (DLU) pada majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah pegawai di Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayangku Nor-ashikin binti Pengiran Haji Kamaruddin.

    Sementara itu, pelancaran DLU telah disempurna-kan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SMSIS, Dr Mary Lim.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pengetua SMSIS, Chong Wee Meng menjelaskan bahawa SMSIS memperkenalkan kaedah pembelajaran secara digital bermula pada 2018 dengan pelancaran sistem Bring Your Own Device (BYOD). Pembelajaran secara digital kemudian diperluaskan penggunaannya berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

    “SMSIS komited dalam menyediakan pembelajaran berkualiti kepada pelajar. Pihak sekolah peka akan perubahan dalam menyampaikan pembelajaran di mana teknologi kini memainkan peranan penting dalam semua aspek kehidupan termasuk pendidikan.

    “Oleh itu, adalah wajar bagi SMSIS mengikut perkembangan terkini dan mengisi jurang yang berkaitan dengan teknologi serta pembelajaran secara digital,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau juga menerangkan hala tuju sekolah dalam menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) pada tahun hadapan agar pembelajaran menjadi lebih menarik.

    Pada majlis tersebut, kakitangan SMSIS telah mempamerkan kaedah-kaedah penyampaian pembelajaran secara digital yang telah diguna pakai sejak 2018 termasuk dengan menggunakan Microsoft Teams, Device On Demand, Beebots, Microbits dan Dugga Digital Assessment.

    Dr Mary Lim ketika mengunjungi pameran yang disediakan.
    Dayangku Norashikin menyaksikan pameran DLU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda