Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Seramai 20 orang pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) dari Kelab Needleworx, diberi pendedahan tentang seni tradisional sulaman Vietnam sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk merasai kesabaran, ketepatan dan ekspresi seni yang menjadi ciri utama dalam sulaman Vietnam.
Bengkel kebudayaan “Seni Sulaman Vietnam” anjuran Kedutaan Besar Republik Sosialis Vietnam di Brunei Darussalam diadakan di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Bengkel berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk kefahaman budaya dan hubungan antara rakyat Vietnam dan Brunei Darussalam.
Hadir di bengkel itu, Duta Besar Vietnam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu, dan isteri, Puan Le Thi Hong Ngoan.

Turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sarjana Dr. Mary Lim, Pengetua Chong Wee Meng, Timbalan Pengetua Joel Espiritu, Ketua Aktiviti dan Acara Sekolah, Thea de Guzman, Ketua Akademik dan Pembangunan Kurikulum, Elvira de Luna, Han Yei Siew dan Hannah Hoang, Pengasas Yi’s Nation, serta Puan Pham Thu Phuong, wakil daripada Komuniti Vietnam.
Dalam ucapan alu-aluan beliau, Duta Besar Tran Anh Vu menekankan kepentingan diplomasi budaya sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai nilai-nilai bersama dalam kreativiti dan warisan.
Sebagai sebahagian daripada acara tersebut, Kedutaan turut menyerahkan koleksi karya sastera Vietnam kepada SMSIS bagi menggalakkan pembelajaran dan pertukaran budaya. Sebagai balasan, SMSIS telah menyampaikan cenderamata dan tanda penghargaan kepada pihak Kedutaan sebagai simbol persahabatan dan rasa terima kasih.
Bengkel tersebut dipimpin oleh Le Thi Hong Ngoan, Pham Thu Phuong, dan Hannah Hoang, sesi tersebut menampilkan demonstrasi secara langsung dan aktiviti amali, membolehkan para pelajar meneroka teknik halus serta keindahan seni tangan yang penuh ketelitian.
Menekankan aspek kelestarian dalam seni, Le Thi Hong Ngoan menjelaskan bahawa bahan-bahan yang digunakan dalam bengkel tersebut termasuk kertas kitar semula, kadbod, rumput kering, dan pelbagai jenis benang.

Pendekatan mesra alam ini bukan sahaja mencerminkan daya cipta para artisan Vietnam, malah menggalakkan para pelajar untuk menghargai kreativiti melalui penggunaan semula bahan semula jadi dan bahan terpakai.
Guru-guru SMSIS turut serta dalam sesi tersebut, bekerja bersama pelajar dalam suasana pembelajaran yang kolaboratif dan interaktif, sekali gus memperkukuh semangat pertukaran budaya dan saling menghargai.
Melalui inisiatif ini, Kedutaan telah menegaskan komitmennya untuk mempromosikan budaya dan warisan Vietnam sambil memupuk hubungan yang berkekalan antara rakyat Vietnam dan Brunei Darussalam.

