Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Bagi meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25, Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) telah mengadakan Larian Dana dengan tema KIDZ DASH 2.0 di Jerudong Park Garden sebagai menandakan pencapaian bersejarah sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Acara turut disertai oleh Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Diraja Kemboja di Brunei Darussalam, Yen Samnang selaku tetamu kehormat.
Terdahulu, acara menyaksikan penyampaian cek kepada Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) diikuti dengan senaman memanaskan badan.
Cek sumbangan telah disampaikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SMSIS, Dr Mary Lim kepada Pemangku Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Awang Shamsuddin bin Haji Puasa selaku wakil DANA.
Acara berkenaan juga dihasratkan dapat memanfaatkan tenaga dan penglibatan komuniti SMSIS yang semakin berkembang dan ahli gabungan persendirian, di samping mewujudkan satu lagi tanggungjawab sosial melalui amal kebajikan dengan matlamat membentuk warga global.
Acara turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti lain seperti bazar yang menjual cenderamata ulang tahun ke-25 sekolah berkenaan selain jualan makanan, bouncer, permainan dan photobooth.