Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) baru-baru ini telah meraikan beberapa acara penting yang menonjolkan pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Acara tersebut menekankan komitmen sekolah terhadap kecemerlangan, kreativiti dan pendidikan holistik.
Pada 21 November, SMSIS telah mengadakan Majlis Graduasi dan Penganugerahan kali ke-26, bagi menghargai kejayaan pelajar Tahun 6. Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Wang Haitao.
Majlis itu telah meraikan pencapaian dalam bidang akademik dengan anugerah emas, perak dan gangsa termasuk pertandingan tempatan dan antarabangsa, dengan penyempurnaan trofi, pingat serta sijil disampaikan kepada pelajar berprestasi tinggi bagi mengiktiraf perkembangan dan pencapaian mereka.
Sementara itu, pada 22 November, Majlis Pengiktirafan dan Penganugerahan telah berlangsung dengan menyaksikan kehadiran tetamu kehormat terdiri daripada Pengurus Negara Microsoft di Negara Brunei Darussalam, Akfash Latibu.
Acara berkenaan meraikan pencapaian akademik bagi kategori emas, perak dan gangsa, bersama-sama dengan anugerah khas untuk pertandingan global.
Anugerah tersebut diberikan kepada golongan murid dari Tahun Awal hingga Tahun 5.
Dalam pada itu, golongan pelajar turut mempamerkan bakat mereka melalui persembahan yang menarik, termasuk piano, taekwondo, pidato, drama, tarian medley dan persembahan kebudayaan. Acara berkenaan menyerlahkan dedikasi SMSIS untuk memupuk semangat pembelajar sepanjang hayat, inovator dan pemimpin.