Penyanyi rap Snoop Dogg menghulurkan derma kira-kira RM45,000 bagi membantu seorang wanita berusia 93 tahun bagi melindungi tanah milik keluarganya.
CNN melaporkan, Snoop Dogg mengambil keputusan untuk membantu wanita berkenaan kerana teringatkan ibu dan neneknya.
“Saya melakukannya (menderma) dari hati. Dia mengingatkan saya kepada ibu dan nenek saya,” katanya.
Wanita berkenaan bernama Josephine Wright sebelum ini cuba mengumpul wang menerusi kempen GoFundMe bagi membantu dirinya mendapatkan semula tanah itu, kongsi mStar.
Dia bagaimanapun disaman oleh kumpulan pembangunan Bailey Point Investment LLC yang mendakwa beberapa struktur tanah itu berada di atas harta mereka.
Kumpulan pelaburan itu merancang untuk membina 147 rumah baharu di Pulau Hilton Head yang turut merangkumi tempat tinggal Josephine.
Bailey Point Investment LLC dilaporkan menawarkan Josephine RM136,000 untuk tanah itu, namun dia menolak.
Josephine memfailkan saman balas terhadap syarikat berkenaan, namun tindakannya itu didakwa sebagai ugutan. – Agensi