Oleh Normazlina M.D
KUALA BELAIT, 30 Nov – Bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap masyarakat yang inklusif serta memperluaskan hubungan kekeluargaan ke daerah lain, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) telah mengadakan Hari Reben Atlet Muda di Sekolah Rendah (SR) Sungai Liang, Daerah Belait, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor. Turut hadir ialah Naib Presiden SOBD, Dayang Wati binti Bujang.
Sebanyak lima buah sekolah rendah dari Daerah Belait telah terlibat dalam acara tersebut yang terdiri dari SR Muhammad Alam, SR Sungai Tali, Lumut II, SR Sungai Liang, SR Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin dan SR Lumut.
Hari Reben Atlet Muda diadakan untuk menggabungkan kanak-kanak kelainan upaya dan biasa dari lima buah sekolah rendah bagi memberikan mereka peluang meluangkan masa bersukan dan menyertai aktiviti bersama atlet muda, adik-beradik dan ibu bapa mereka.
Di samping itu, ia juga dianjurkan untuk memberi peluang kepada individu yang mempunyai kelainan upaya menunjukkan kebolehan mereka, berinteraksi bersama rakan-rakan mereka bagi mengembangkan keyakinan diri mereka.
Daerah Belait mengadakan Sambutan Hari Reben Atlet Muda buat pertama kali pada tahun ini dengan kerjasama 30 orang pelajar dari Universiti Brunei Darussalam di bawah Program Bantuan Masyarakat, sementara bagi Daerah Brunei dan Muara, ia diadakan setiap tahun sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2015.
