Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Ketua-ketua pegawai kanan Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (SOCA) telah bersidang bagi Mesyuarat SOCA ke-30 yang diadakan secara persidangan video, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku pengerusi SOCA dan turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), Tuan Yang Terutama Kung Phoak, ketua-ketua SOCA serta delegasi yang lain.
Menurut kenyataan KKBS, mesyuarat diadakan sebagai persediaan kepada Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN ke-25 yang akan diadakan esok.
Hajah Nor Ashikin dalam ucapannya pada mesyuarat itu telah menyentuh mengenai impak COVID-19 yang mengajar ASEAN untuk menjadi lebih bersedia.
Sehubungan itu, pengutamaan memberikan fokus kepada usaha ASEAN menuju perpaduan yang berdaya tahan, bagi memastikan kebajikan masyarakat ASEAN diberi perhatian dalam membangun sebuah komuniti ASEAN.
Beliau turut menyeru ketua-ketua SOCA dan Sekretariat ASEAN untuk meneliti bagaimana menyatukan serta memperkukuhkan usaha-usaha ASEAN, termasuklah memperbaharui komitmen-komitmen sebelum ini melalui pelaksanaan antara-tunggak dan antara-sektor yang lebih kukuh. Dalam masa yang sama, memberikan jaminan kepada rakan-rakan ASEAN bahawa ASEAN merupakan sebuah pertubuhan yang mampan dan berdaya tahan.
Mesyuarat itu menyokong kepengerusian Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN 2021 yang bertemakan We Care, We Prepare, We Prosper dan bersetuju untuk bekerjasama rapat bersama badan-badan sektoral ASCC ke arah menghasilkan komitmen ASEAN dalam memeduli masyarakatnya dan bersedia menghadapi cabaran serta peluang pada masa akan datang, dengan matlamat untuk memastikan seluruh Komuniti ASEAN merasai kemakmuran yang mampan.
Antara isu yang dibincangkan adalah mesyuarat menyokong cadangan dalam meningkatkan pelaksanaan Budaya Pencegahan (CoP) seperti yang dilaporkan dalam Mesyuarat ke-4 Kumpulan Kerja Deklarasi CoP bagi Masyarakat Aman, Inklusif, Berdaya Tahan, Sihat dan Harmoni yang diadakan kelmarin.
Mesyuarat juga membincangkan mengenai Kajian Separuh Penggal ASEAN Community Vision 2025 Blueprint yang telah disahkan semasa Kemuncak ASEAN ke-37 pada 2020, mesyuarat bersetuju bagi ASCC untuk menggabungkan dan menyelaraskan pelaksanaan blueprint bagi lima tahun yang akan datang secara strategik mahupun operasi dengan ASEAN Comprehensive Recovery Framework.
Ini termasuklah menangani isu-isu berkaitan jurang dan ketersediaan data; Mesyuarat mengambil maklum perkembangan pelaksanaan ASEAN Enabling Masterplan 2025 dan mengalu-alukan penyertaaan aktif badan-badan sektoral ASEAN dalam Capacity Building Initiative for ASEAN Sectoral Bodies to integrate the Implementation and Monitoring of the ASEAN Enabling Masterplan 2025 yang dijadualkan untuk diadakan pada 6 dan 7 April 2021.
Mesyuarat juga mengalu-alukan penubuhan tiga platform penyelidikan dan pembangunan ASCC iaitu Platform Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN; Platform Perubahan Iklim ASEAN; dan Platform Pengurusan Bencana ASEAN.
Mesyuarat SOCA ke-30 merupakan kesinambungan Mesyuarat SOCA ke-29 pada 5 November 2020. Mesyuarat SOCA ke-31 dijadualkan diadakan pada September 2021.