MIAMI, 27 Feb – Jack Sock memenangi gelaran ATP keduanya pada tahun 2017 ini semalam ketika pemain pilihan utama, Milos Raonic menarik diri sebelum perlawanan akhir Terbuka Delray Beach kerana mengalami koyak di bahagian hamstring.
Raonic dari Kanada, ranking keempat dunia, beraksi dalam pertandingan pertamanya sejak mengalami kecederaan otot keempatnya dalam tempoh 12 bulan di Terbuka Australia pada Januari lalu.
Raonic memberitahu Tennis Channel bahawa dia mengalami kecederaan tersebut dalam kemenangan separuh akhir ke atas bekas juara Terbuka AS, Juan Martin Del Potro pada malam Sabtu lalu.
“Saya tidak memikirkan mengenainya,” kata Raonic. “Saya rasa ia hanyalah kekejangan selepas perlawanan, tetapi pagi ini saya bangun tidak dapat berjalan dengan baik dan melakukan rawatan bersama pasukan saya.
“Kami hadir dengan kesimpulan bahawa ia hanya kecederaan hamstring di kaki kanan.”
Sock, yang menambah gelaran keduanya pada tahun ini susulan kejayaan di Auckland pada Januari lalu, menganggapnya ‘tidak bernasib baik’.
“Kami memiliki banyak persaingan yang bagus dan saya bersedia kepada cabaran itu,” tambah Sock, yang memenangi gelaran ketiga ATP dan diramalkan untuk mencapai kedudukan ke-18 dalam ranking dunia hari ini.
“Saya merasa sedikit teruja dan bertenaga penuh jika saya pergi dan memenanginya di atas gelanggang, tetapi dari sudut persaingan, gelaran adalah gelaran.”
Sock berkata Raonic memaklumkannya secara peribadi mengenai pengunduran itu sejurus sebelum dia melakukan pemanasan badan bagi pertandingan itu.
Dia berkata dia terkejut selepas menyaksikan Raonic menewaskan bekas juara Terbuka AS, Juan Martin Del Potro dari Argentina dalam separuh akhir pada malam Sabtu lalu.
“Saya pasti Milos suka untuk beraksi, tetapi anda perlu melihat ke depan dengan beberapa pertandingan besar tidak lama lagi,” kata Sock. – AFP