SoftBank catat kerugian AS$3.5 bilion

TOKYO, 8 NOV – SoftBank Group Corp mengalami keadaan debit untuk tempoh Julai-September, terjejas oleh kerugian dalam pelaburannya di China, kata konglomerat teknologi Jepun hari ini.

SoftBank melaporkan kerugian berjumlah 397.9 bilion yen (AS$3.5 bilion) untuk suku kedua fiskal, berbanding dengan keuntungan 627 bilion yen yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jualan suku meningkat 11 peratus kepada 1.5 trilion yen.

SoftBank berkata portfolio pelaburannya yang bergelar Vision Fund mengalami kerugian, termasuk nilai sahamnya dalam peruncit dalam talian Korea Selatan Coupang.

Namun ia berkata ia mencatat keuntungan untuk sahamnya dalam DoorDash, perkhidmatan pesanan makanan dalam talian yang berpangkalan di San Francisco.

Gambar fail menunjukkan orang berjalan di depan kedai SoftBank di daerah membeli-belah Ginza di Tokyo. SoftBank Group Corp mengalami keadaan debit untuk tempoh Julai-September, terjejas oleh kerugian dalam pelaburannya di China. – AP

SoftBank berkata tindakan keras baru-baru ini di China ke atas sektor teknologi menjejas harga saham China.

Vision Fund SoftBank dibelenggu kerugian berjumlah 1 trilion yen dalam suku Julai-September, menurut ketua eksekutif Masayoshi Son.

Son, yang menubuhkan syarikat itu, mengakui kerugian terbaharu merupakan perbezaan besar berbanding keputusan memberangsangkan yang dilaporkan untuk tahun fiskal sebelumnya.

Beliau berkata satu faktor besar yang menyumbang kepada kerugian adalah kemerosotan mendadak dalam harga saham syarikat e-dagang China Alibaba, di mana SoftBank ialah pemegang saham.

Namun beliau menekankan perniagaan utama SoftBank sedang beralih kepada Vision Fund dan kurang bergantung pada prestasi Alibaba. Bagaimanapun, pelaburan China dalam Vision Fund juga terjejas. – AP