Personaliti media sosial Sofyank berpeluang menjalinkan kerjasama bersama pelakon aksi Hollywood Tom Cruise di Tokyo, Jepun.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Sofyank atau Mohamad Sofian Abdullah, 28, di Instagram miliknya yang memaparkan foto bersama bintang aksi itu, menurut laporan mStar.
Tidak keseorangan, Sofyank turut membawa rakannya iaitu Shaffuan untuk kerjasama kali ini.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan untuk kami di atas perjalanan kami kali ini.
“Nantikan video kolaborasi kami nanti,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-rata teruja melihat kolaborasi itu sekali gus bangga dengan kejayaannya.
“Kami sangat bangga dengan awak bro! Ini kejayaan dan kemajuan yang perlu diiktiraf.
“Makan hati produksi lain! Terus menyala!,” antara komen warganet.
Sebelum ini, Sofyank meluahkan rasa teruja dan gemuruh menunggu detik untuk bertemu bintang aksi itu ketika tiba di Tokyo.
Katanya, walaupun persiapan sudah dilakukan namun perasaan bimbang masih menguasai diri.
“Insya-Allah esok kalau tiada halangan, saya akan shoot satu video vfx bersama dengan Tom Cruise.
“Buat masa sekarang, perasaan memang sangat ‘nervous’ menunggu detik untuk shooting esok, walaupun dah buat persiapan awal-awal, tapi masih lagi risau untuk sesi esok,” katanya.
Kerjasama Sofyank dan Tom itu dipercayai berkaitan dengan promosi filem terbaharu lakonan Tom iaitu Mission Impossible: The Final Reckoning yang akan ditayangkan di Malaysia bermula 17 Mei ini.
Selain Tom Cruise, Sofyank juga pernah berkerjasama dengan artis terkenal Hollywood lain seperti Paul Rudd, Will Smith dan Jonathan Majors.
