Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Soh Wai Ching sasar takluk menara KL buat kali ketiga

    KUALA LUMPUR – Mendaki 1,608 anak tangga yang bersamaan dengan ketinggian 292 meter dari aras tanah ke puncak Menara Kuala Lumpur (Menara KL) bukan calang-calang cabaran.

    Bagi pelari tangga Malaysia dan juara dunia, Soh Wai Ching pula, se-tiap anak tangga itu membawa makna perjuangan, maruah dan cintanya kepada tanah air dan pada 30 November ini, beliau bakal kembali ke ‘trek’ yang membentuk dirinya itu.

    Bersama-sama dengan 2,000 peserta dari 15 negara, Soh akan menyertai Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2025 (KLTRIC 2025) dan jika bagi kebanyakan peserta, pendakian itu ujian fizikal, buat Soh pula ia misi mempertahankan maruah Malaysia.

    Mengimbau kembali penyertaan pertamanya pada 2013, Soh, 31, berkata, ketika itu beliau hanya suka-suka, namun semangatnya berubah selepas mengetahui sejak 1998 belum ada rakyat Malaysia menjuarai kategori keseluruhan.

    “Saya terkejut bila tahu Malaysia tak pernah menang. Dari situ saya berazam mahu pecahkan rekod itu,” katanya pada sidang media.

    Soh Wai Ching berjaya mendaki 1,608 anak tangga dengan ketinggian 292 meter dari aras tanah ke puncak Menara KL. – Bernama

    Azam itulah yang mendorong atlet berkenaan untuk muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menjuarai kategori keseluruhan pada 2019 dan mengulanginya empat tahun kemudian. Pada edisi tahun ini beliau memburu gelaran ketiga.

    Berkongsi tentang persediaan, Soh berkata, latihan yang dijalaninya menuntut disiplin tinggi termasuk latihan intensif tiga kali seminggu dengan seawal 6 pagi beliau menakluki tangga Menara KL ketika kebanyakan orang masih tidur.

    “Berlatih di sana memang beri kelebihan. Kita faham struktur tangga, tahu bila nak tambah rentak dan bila nak kekalkan rentak,” katanya.

    Edisi tahun ini turut menarik penyertaan peserta dari Kenya, Jepun, India, Australia dan Jerman. Namun, persaingan antarabangsa tidak mematahkan semangatnya.

    “Ini tanah air kita. Kalau boleh, saya tidak mahu lihat peserta luar bawa pulang gelaran itu,” katanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Khairil Faizal Othman berkata, tema Victory is Vertical dipilih bagi menampilkan semangat perjuangan dalam sukan mendaki menara yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.

    Beliau turut berkongsi pencapaian membanggakan atlet Malaysia, Michele Tan Bee Kiang, yang mencatat Rekod Dunia Guinness sebagai wanita terpantas menamatkan vertical mile dengan catatan satu jam 33 minit. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda