JOHOR BAHRU, 23 OKT – Skuad hoki remaja Malaysia ‘seolah-olah hilang punca’ selepas mendahului 2-0 menentang India sebelum kecundang 4-2 dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam tadi.
Ketua Jurulatih, I Vikneswaran berkata meskipun skuad kendaliannya bermain seperti dirancang sehingga mendahului di awal permainan namun selepas itu Young Tigers tenggelam punca sehingga ditewaskan anak didik PR Sreejesh.
Skuad India menjaringkan empat gol untuk kekal di tangga teratas saingan SOJC dengan mengumpul sembilan mata.
“Saya akui perlawanan menentang Jepun sebelum ini mengecewakan … kami terima kekalahan itu … meskipun hakikatnya sukar untuk menerimanya. Kita nak pastikan perkara itu tidak berulang namun mereka tiba-tiba tenggelam punca dan kita membenarkan India mengejar dan meraih dua gol.
“Tetapi saya akui pemain sudah bermain mengikut perancangan … mereka perlu terus bangkit. Kami tidak gentar dengan mana-mana pasukan cuma perlu beraksi dan lakukan dengan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan antara Malaysia menentang India. – Bernama