Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong dan jayakan dasar negara

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Rafi Rosli

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Para penerima Sijil Taraf Kerakyatan diseru memainkan peranan untuk menyokong dan menjayakan dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan kerana tanpa sokongan rakyat dan penduduk negara ini, setentunya dasar-dasar kerajaan akan menemui jalan buntu.

        Bak kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, yang memberikan maksud betapa pentingnya untuk rakyat dan penduduk di negara ini berganding bahu dengan pemimpin negara untuk memajukan dan mencapai hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang lebih maju menjelang 2035.

        Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan di Dewan Bankuet, Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

        Seramai 860 orang telah menerima sijil taraf kerakyatan kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis kali ke-38 anjuran Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu.

        Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut berkata, “Sebagai rakyat yang bernaung di bumi Darussalam, sudah setentunya kita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Ini termasuklah menyumbang khidmat bakti untuk mempertahankan kedaulatan, kesejahteraan, keharmonian, pembangunan dan keamanan negara.

        “Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dipikul dan ditanai oleh rakyat dan penduduk di negara ini dengan menerapkan nilai-nilai KeBruneian sebagai calak, identiti dan jati diri rakyat Brunei yang mesra dengan ramah, bersopan santun, berbudi pekerti dan tidak camah mata dalam menjaga kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini,” tambah beliau.

        Yang Berhormat Dato menekankan, sebagai rakyat dan penduduk yang bertanggungjawab, kita juga perlu memahami dan mengamalkan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja yang sudah menjadi cara hidup di negara ini sejak berkurun lamanya yang berlandaskan kepada pegangan agama Islam.

        “Kita selaku rakyat di negara ini haruslah bersyukur kerana dikurniakan seorang raja yang sangat prihatian dan sentiasa memeduli kebajikan rakyat Baginda, dan dengan berkat kepimpinan serta kebijaksanaan Baginda, Alhamdulillah kita di negara ini dapat menikmati suasana aman, damai dan tenteram di mana ia adalah satu nikmat kurnia yang tidak ternilai harganya daripada Allah SWT,” tambah beliau.

        Para penerima terdiri daripada mereka yang memohon taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) Ujian Bahasa Melayu secara bertulis, Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara Brunei dan juga di bawah Bab 5(6) yang terdiri daripada Isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei Darussalam.

        Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan di KHEDN serta pegawai dan kakitangan JIPK.

     

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menyampaikan Sijil Taraf Kerakyatan kepada salah seorang penerima.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda