Oleh Rafidah Jumat
Gambar serahan EnEvo
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Sambutan Hari Bumi yang diraikan pada 22 April setiap tahun di seluruh dunia adalah sebagai usaha menghargai bumi, memupuk rasa tanggungjawab dan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melindungi bumi dan alam sekitar.
Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Bumi ke-50, EnEvo selaku pengeluar jenama tisu tempatan pertama di negara ini berusaha memberi penyelesaian untuk cabaran kelestarian alam sekitar global dan dengan sokongan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah menaja produk tisu mereka kepada individu-individu yang menyertai sambutan Hari Bumi ke-50 melalui platform
Instagram @jastre.bn dan @enevo_bn dari 22 hingga 30 April lalu.
Tajaan berkenaan juga didorong dengan kempen ‘ambil tindakan, buat perbezaan’.
Jenama tisu EnEvo merupakan keluaran pertama produk tempatan diperbuat daripada pulpa kertas kitar semula yang bertujuan untuk melindungi bumi.
Dengan memilih tisu EnEvo, pengguna telah menyelamatkan pokok-pokok, menjadi sebahagian daripada penyelesaian strategi pengurusan sampah negara, menyumbang kepada ekonomi negara dan menjadikan wawasan 2035 sebagai realiti.
Dalam dua majlis berasingan kelmarin, dua syarikat iaitu SC Tubular Solution dan Dimension mengambil bahagian dalam menaja pek-pek tisu tersebut.
Sebanyak 100 pek tisu disampaikan SC Tubular Solution melalui wakil dari JASTRe dan EnEvo kepada penerimanya, termasuk sukarelawan-sukarelawan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang membantu usaha Kementerian Kesihatan dalam memerangi wabak COVID-19 dan juga hotel-hotel yang menempatkan pengasingan untuk COVID-19.
Dimension yang diwakili pihak EnEvo pula menyampaikan 50 pek tisu kepada barisan hadapan Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.
Dalam majlis berasingan pada 28 April, Bank Usahawan telah menaja 200 pek kepada penerimanya, termasuk Majlis Kesejahteraan Masyarakat yang merupakan organisasi bukan kerajaan yang membantu golongan memerlukan di negara ini, dan Institut Penyelidikan Biodiversiti, Universiti Brunei Darussalam bagi Pusat Pengajian Lapangan Kuala Belalong.

