Oleh Salawati Haji Yahya & Sim. Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Perjumpaan dan perkumpulan yang melibatkan tetamu daripada sektor pertanian dan restoran sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) memberi peluang kepada peladang dan pasar raya untuk berkomunikasi mengenai sektor masing-masing.
Di samping itu, peladang juga tidak mempunyai masalah untuk mencari pembeli bagi hasil pertanian mereka.
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa ditemu bual pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Beliau menambah, perjumpaan berkenaan bukan saja memberi peluang kepada peladang bahkan ia secara tidak langsung dapat menjelaskan kepada pihak pasar raya bahawa sayuran yang ditanam di negara ini boleh didapati kesegarannya secara langsung berbanding dengan sayuran import yang boleh didapati di negara ini.
Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan gembira kerana Yayasan telah mengadakan pameran sempena Hari Raya Aidilfitri Yayasan dengan mengambil kira untuk memudahkan pertemuan antara peladang dengan pembeli seperti pasar raya, restoran, pihak perhotelan dan Royal Brunei Catering (RBC).

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, walaupun mereka ingin menambahkan hasil ladang, perjumpaan berkenaan juga akan memudahkan mereka untuk menjual sayuran segar mereka ke pasar raya di negara ini sementara pasar raya juga tidak perlu mengimport sayuran yang boleh ditanam di negara ini.
“Dengan mendapatkan hasil ladang di negara ini, kesegaran dan hasil ladang itu juga terkawal dari segi bahan-bahan kimia yang boleh mengurangkan keraguan kepada pengguna,” tambahnya.
Katanya lagi, pameran seumpamanya juga dapat menjelaskan kepada pasar raya di negara ini bahawa barangan yang diimport tersebut boleh didapati di negara ini sama ada sayur-sayuran, buah-buahan, perikanan dan pemprosesan.
Dalam temu bual itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan mengenai perkembangan skim rintis yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sejak dua tahun yang lalu telah menunjukkan banyak kejayaan.
Beliau bagi pihak KSSUP menjunjung kasih atas perkenan Baginda bagi skim berkenaan dan dengan adanya skim seumpamanya, ujarnya, pihak kementerian dapat menawarkan tanah-tanah secara mudah kepada peladang yang ingin bergiat secara percubaan.
Menurutnya, setelah tempoh percubaan selesai selama dua tahun dan didapati peladang itu berjaya, peladang tersebut akan ditawarkan untuk meneruskan pertanian mereka selain diberikan contract farming untuk mereka berurusan menjual hasil ladang mereka dengan pasar raya dan restoran di negara ini.