Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong kemajuan teknologi, penyelidikan sekuriti

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – STACK 2025 merupakan sebuah platform yang menganjurkan beberapa siri acara yang berkaitan dengan idea, inovasi dan teknologi.

    Ia juga dihasratkan untuk menyokong inovasi yang bukan sahaja berkaitan dengan teknologi tetapi juga proses dan modal insan, jelas Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penghargaan STACK 2025 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, jemputan khas serta para pemenang yang diraikan.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Awang Shamsul Bahri menyatakan CSB di bawah Akta Keselamatan Siber Bab 272 bertanggungjawab untuk membangun dan mempromosi industri perkhidmatan sekuriti siber di Negara Brunei Darussalam serta untuk menyokong kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan kepada sekuriti siber.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan hadiah kepada ONE POINT REVUE. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan hadiah kepada Symbiotes. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan hadiah kepada HUNI Tech. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyaksikan lebih dekat dan diberikan penerangan mengenai projek oleh para pemenang dalam pertandingan berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menghadiri majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan hadiah kepada Pasukan Chaotic Bot. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Di antara pemenang yang menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Untuk mencapai hasrat itu, jelasnya, kita perlu membangunkan ekosistem dalaman dan sekitarnya khususnya sekeliling teknologi baharu seperti AI, Blockchains, IOT dan robotik.

    Dalam hubungan itu, CSB dengan sokongan Universiti Teknologi Brunei (UTB), Makmal Inovasi Brunei (BIL) dan Information Technology Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd telah menganjurkan dua acara hackathon iaitu Robotic Coding Conquest (RCC) dan IDNovate.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan-pertandingan yang diadakan semasa STACK 2025 di mana juara bagi AI IoT Hackathon (kategori tempatan) ialah AI-Powered Beach Cleaning Robot dari Universiti Teknologi Brunei, juara bagi International Student AI IoT Hackathon (Online) ialah Pasukan Tony Tony Chopper dari Universiti Teknologi Malaysia dengan projek bertajuk, CliniQless AI.

    Sementara itu, juara bagi Cabaran Junior IoT SDG (Usia 14-17) ialah Dayang Nor Nasibah Adgwa @ Hannah binti Awang Azman dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, juara bagi Cabaran Junior Robotics SDG (Usia 14-17) ialah Pasukan Chaotic Bot, juara bagi Building Intelligent Machine (BIM) 2025 ialah Symbiotes, juara bagi Microsoft ASEAN AI accessibility Hackathon 2025 ialah HUNI Tech serta juara bagi IDNovate ialah ONE POINT REVUE.

    RCC 2025 merupakan sebuah pertandingan kebangsaan yang direka untuk memberikan inspirasi dan mencabar pelajar-pelajar universiti, kolej vokasional, institut teknikal dan sekolah menengah untuk membangunkan robotik, AI dan penyelesaian berpandukan IT yang menangani kesemua 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Pertandingan berkenaan memupuk inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan idea berimpak dalam mempersiapkan para pelajar untuk menjadi pembuat perubahan dan pemimpin teknologi masa hadapan.

    Sementara itu, IDNovate memberikan peluang kepada syarikat pemula dan ahli akademik berkumpul untuk meneroka dan membangunkan kes penggunaan inovatif bagi ekosistem Identiti Digital dan Verifiable Credentials di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda