Sokong kempen Drop Your Blood Letters

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Pada 2019, secara purata jumlah darah yang berjaya dikumpulkan semasa kempen derma darah bergerak ialah kira-kira 800 unit, tetapi dengan kejadian pandemik koronavirus yang dihadapi negara pada masa ini, jumlah yang dikumpulkan semasa kempen derma darah bergerak telah menurun sebanyak 38 peratus.

Manakala itu, dari segi jumlah kempen derma darah pula, pada 2019, secara purata sebanyak 20 kempen diadakan dalam masa sebulan tetapi dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, jumlah purata berkenaan telah menurun kepada 11 dan pada April lalu sahaja, cuma enam kempen sahaja yang diadakan.

Perkara itu telah menyebabkan stok darah yang rendah di Pusat Pendermaan Darah dengan permintaan bagi penggunaan darah terus kekal tinggi.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menderma darah di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam melancarkan kempen kesedaran derma darah, Drop Your Blood Letters.

Pengumuman mengenai pelancaran kempen berkenaan dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif semasa sidang media mengenai kempen tersebut berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

TYT Richard Lindsay (kanan) memberikan penerangan kepada pihak media mengenai Kempen Drop Your Blood Letters.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pesuruhjaya British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay.

Dr Haji Zulaidi menjelaskan bahawa dalam mengekang pandemik COVID-19, Pusat Pendermaan Darah telah melaksanakan beberapa perubahan pada proses menderma darah seperti menggunakan sistem perjanjian untuk mengawal serta mengurangkan kesesakan dan mengekalkan penjarakan fizikal di pusat berkenaan.

Pada masa yang sama, pelbagai prosedur juga dilaksanakan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan suhu badan, kebersihan tangan serta memakai penutup hidung dan mulut bagi memastikan bahawa keselamatan setiap penderma darah dan risiko jangkitan dapat diminimumkan semasa menderma darah.

Beliau menyatakan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan itu mendapat sambutan yang positif dalam kalangan orang ramai di mana jumlah penderma darah dan mereka yang berhasrat untuk menderma darah di pusat berkenaan telah meningkat.

Di samping itu, pada bulan Ramadan, jumlah pendermaan darah juga menurun di mana bagi penderma darah yang beragama Islam yang tidak berkesempatan menderma pada siang hari, oleh itu, Pusat Pendermaan Darah melanjutkan waktu operasinya dan membuka pintu bagi penderma darah pada waktu malam pada hari-hari terpilih.

Kementerian kesihatan menerusi Pusat Pendermaan Darah juga terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kementerian-kementerian, organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta untuk menganjurkan kempen menderma darah menerusi sistem temu janji.

Mengulas mengenai Kempen Drop Your Blood Letters, Dr Haji Zulaidi menerangkan bahawa Kementerian Kesihatan amat mengalu-alukan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam yang menganjurkan kempen kesedaran menderma darah yang julung-julung kalinya diadakan itu.

Beliau menerangkan bahawa kempen kesedaran seumpama itu serta program kesedaran seperti pengumuman awam, taklimat pendermaan darah di sekolah dan pejabat serta kempen menderma darah, Pusat Pendermaan Darah mendapat kira-kira 60 peratus pendermaan darah setiap tahun.

Dalam hubungan itu, beliau menyeru semua orang untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan darah dan untuk meningkatkan jumlah orang yang menerima darah di Pusat Pendermaan Darah.

Beliau juga menyatakan bahawa kempen itu boleh disertai oleh semua orang di mana mereka boleh memuat naik gambar nama mereka atau nama organisasi mereka tanpa menggunakan huruf, A, B dan O di media sosial serta menyertakan hashtag #british.hc.bn, #bloodbank_ripas, #dropyourbloodletters dan #ukinbrunei.

Sementara itu, TYT Richard Lindsay berkata bahawa pihaknya terus mencari jalan untuk membantu komuniti khususnya Kementerian Kesihatan dan mengingatkan orang ramai bahawa inisiatif Drop Your Blood Letters bukan kempen menderma darah tetapi ia merupakan kempen kesedaran dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran menderma darah di Negara Brunei Darussalam.

Beliau menyatakan harapan inisiatif itu akan meningkatkan jumlah orang yang menderma darah khususnya semasa bulan Ramadan apabila stok darah adalah berkurangan.

TYT Richard Lindsay turut berkata bahawa kempen yang serupa juga dilancarkan di United Kingdom (UK) tiga tahun dahulu di mana ia berjaya untuk menarik kira-kira 30,000 orang penderma darah baharu semasa minggu pertama kempen berkenaan dilancarkan.