Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Lebih 130 orang menghadiri Majlis Qalbun Salim sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2024 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Antara tujuan majlis itu diadakan adalah bagi melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada golongan OKU yang telah menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Awang Khaizuran Amali bin Haji Kamsami.
Majlis diserikan dengan tazkirah khas bertajuk Menyantuni Golongan OKU yang telah disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan isu mentaliti atau sikap sesetengah anggota masyarakat yang menganggap OKU sebagai beban dalam kehidupan dan sikap inilah yang menyebabkan perjalanan hidup golongan OKU penuh dengan cabaran yang perlu diatasi.
Beliau menegaskan sikap sebegini amat tidak wajar dalam kalangan masyarakat normal dan sebagai seorang Muslim yang beriman, masyarakat seharusnya melihat golongan OKU sebagai peluang untuk meraih pahala dengan memberikan bantuan yang sewajarnya.
Sebagai langkah mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif, Pegawai Pelajaran, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait, Awang Abdul Aziz bin Assan selaku juru alih bahasa isyarat dijemput bagi memastikan golongan OKU pendengaran dapat mengikuti keseluruhan majlis dengan baik.
Majlis diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Awang Khaizuran Amali dan diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran Khas OKU, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan kepada penduduk Palestin.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin; para pegawai kanan KKBS; Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah; ahli-ahli MKOKU dan persatuan di bawahnya, serta rakan-rakan strategik kementerian.
Majlis itu mencerminkan komitmen negara dalam memastikan golongan OKU terus dihargai dan disokong dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Di samping itu, Brunei juga akan turut serta dalam meraikan HAOKU dengan menyalakan lampu berwarna ungu di beberapa lokasi utama termasuk Jambatan Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu ini akan berlangsung pada 2 hingga 3 Disember bermula 7 malam hingga 12 tengah malam sebagai tanda sokongan dan simbolik sambutan HAOKU, yang mana warna ungu ini selaras dengan amalan yang dipraktikkan oleh negara lain.
Orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi tersebut yang diterangi lampu ungu dan memuat naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HAOKU2024 atau #IDPWD.