Oleh Daniel Lim
BELAIT, 28 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu para petani dapat menjual hasil mereka kepada peruncit, Ghanim International Corporation telah meneruskan Kempen Beli Hasil Tempatan di Daerah Tutong dan Belait.
Kempen yang diadakan setiap Selasa dan Khamis di Pasarneka Seria dan Tamu Tutong itu menyaksikan sejumlah 54 pengusaha yang terdiri daripada petani dari kedua-dua daerah mengumpulkan hasil pertanian di satu lokasi pusat, yang berfungsi sebagai platform mudah bagi peruncit membeli hasil berkenaan.
Ini adalah respons kepada penutupan tamu-tamu dan gerai di seluruh negara berikutan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan negara dan seluruh dunia, mengakibatkan para petani tidak dapat menjual hasil mereka kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim, Dr Nur Rahman menggambarkan inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan sejak 16 April berkenaan sebagai situasi sama-sama menang bagi petani dan peruncit.
Beliau menjelaskan bahawa Ghanim bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menjalankan kempen berkenaan terutamanya untuk menyokong pengusaha tempatan semasa waktu mencabar ini.


Jelasnya, setiap minggu, pengusaha-pengusaha tempatan boleh datang dan me-ninggalkan hasil tani (di Seria dan Tutong) kemudian mereka hubungi orang berkaitan untuk memastikan bahawa ia dijual ke pasar-pasar raya di daerah-daerah berkenaan.
Dalam menjalankan kempen itu, Dr Nur menekankan mengenai pelbagai hasil tani yang dikumpulkan dan dijual kepada pasar raya. Ghanim bukan sahaja dapat menyediakan senarai pasar raya yang diberikan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan malah, petani tempatan juga menghubungi mereka secara langsung untuk menjual hasil tani mereka.
“Sebaik sahaja kami mempunyai maklumat berkaitan mengenai pengusaha-pengusaha dan senarai hasil tani, kami berhubung dengan peruncit mengenai hasil apa yang ada daripada petani, kemudian mereka dapat membuat keputusan pembelian berdasarkan permintaan bagi hasil berkenaan,” ujarnya.
Di samping itu, beliau juga berkata bahawa hasil yang tidak dijual kepada peruncit tempatan semasa kempen itu diadakan akan dibeli oleh Kedai Brunei Halal di Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk dijual di sana.
Dengan ketidakpastian wabak COVID-19, Dr Nur berkata bahawa inisiatif berkenaan akan dijalankan selagi diperlukan untuk memastikan pengusaha-pengusaha tempatan dapat menjalankan perniagaan harian mereka terutamanya dengan penutupan tamu dan gerai di Daerah Belait dan Tutong.
“Kami percaya bahawa ini akan membantu pengusaha tempatan, terutamanya yang bersaiz kecil dan sederhana, kerana ini adalah mata pencarian mereka. Kempen ini sangat menolong mereka oleh itu kami bukan sahaja akan meneruskan kempen sehingga pembukaan semula tamu dan gerai, malah mencari metode-metode lain bagi para pengusaha menjual hasil mereka,” ujar beliau.
Sementara tidak dibuka kepada orang awam, Kempen Beli Hasil Tempatan itu adalah peluang bagi para petani dan peruncit untuk menjalinkan perhubungan dengan mudah terutamanya bagi petani menjual pelbagai hasil tani tempatan yang dituai setiap hari dan boleh dibeli oleh pelanggan peruncit yang membeli hasil tani berkenaan di kedai mereka.
Sehubungan itu, sementara para petani dan pengusaha digalakkan untuk membawa hasil tempatan mereka ke tamu di Seria dan Tutong masing-masing pada hari Selasa dan Khamis, Ghanim International Corporation juga menekankan mengenai kepentingan untuk menghubungi mereka lebih awal untuk membantu menjelaskan hasil yang ada pada hari-hari berkenaan.