Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 6 Feb – Bagi menyokong perusahaan mikro-kecil dan sederhana (PMKS) serta memperkenalkan produk-produk mereka, Kumpulan Suara Sahabat telah mengadakan acara ‘Tutongku Ceria’ di Dewan Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Bukit Udal, Tutong, kelmarin.
Hadir merasmikan acara Tutongku Ceria ialah tetamu kehormat, Pengerusi PSJD, Awang Mandin bin Uking.
Acara yang merupakan kesinambungan daripada acara Hari Keluarga Suara Sahabat yang diadakan pada tahun 2014 itu adalah bertujuan untuk membantu pengusaha-pengusaha PMKS untuk mempromosikan jualan mereka.

Selain itu, acara tersebut turut menampilkan beberapa aktiviti bermanfaat bagi para pengunjungnya yang dihasratkan untuk mengukuhkan ukhuwah persaudaraan sesama ahli jawatankuasanya, para peserta dan orang ramai khasnya.
Kumpulan Suara Sahabat ini terdiri daripada peminat seni dalam nyanyian dan muzik serta perniagaan dengan harapan untuk menyahut seruan negara bagi menjadi belia berwawasan dan tidak terlalu bergantung pada kerajaan.