Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Dalam usaha untuk menyokong sukan lumba basikal di negara ini, Ahmad Rifa’ie Haji Johor salah seorang pelumba acara trek kebangsaan telah menerima sumbangan berupa basikal trek yang akan digunakan bagi persiapan Sukan Asia Tenggara (SEA GAMES) Ogos ini nanti.
Penyerahan yang diadakan di premis Awang Tum Tum Cycles, Jerudong itu diserahkan oleh Penyelia Awang Tum Tum Cycles, Nor Azam Ismail yang turut disaksikan oleh Jurulatih Berbasikal Brunei Darussalam, Yafiz Jamaludin.
Ketika ditemui Ahmad Rifa’ie menyatakan rasa bersyukur dan berbesar hati atas sumbangan berupa basikal yang berkualiti tinggi itu dan ia diharapkan akan dapat meningkatkan pencapaiannya secara individu dan semangat berpasukan bagi penyertaan kepada acara serantau yang bakal di sertai Ogos ini nanti.
Apabila ditanya mengenai perlumbaan trek yang bakal disertainya, katanya perlumbaan bagi lumba jalan raya dan trek sangat berbeza terutama daripada aspek kelajuan yang sememangnya aspek perbezaan utama di antara dua disiplin lumba basikal itu.
Menurutnya, ketiadaan brek adalah antara yang mencabar selain memerlukan tahap kecergasan yang tinggi untuk terus memecut dan kurangnya peringkat pemulihan dalam perlumbaan ketika berada pada kelajuan optimum berbanding lumba di jalan raya.
Ahmad Rifa’ie sendiri yang sememangnya lebih gemar pada acara trek itu juga turut terlibat dalam persiapan dan pendedahan pra sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur bagi fasa pertama sebelum lebaran tempoh hari, sambil menegaskan mereka sepasukan kini pada peringkat 80 peratus dan akan mencapai ke tahap terbaik pada kemuncak Ogos nanti.
“Saya yakin pada masa itu nanti kami akan bersedia sepenuhnya dalam acara masing-masing dan memesan supaya semua ahli pasukan tidak akan beralah sehingga ke garisan penamat dalam penyertaan itu nanti,” ujar Ahmad Rifa’ie lagi.
Sementara itu, Yafiz ketika ditemui menyatakan rasa berbesar hatinya kepada barisan penyokong skuad lumba basikal kebangsaan.

Menurutnya, sumbangan ini adalah sebahagian daripada bantuan bagi kegunaan latihan pasukan oleh Awang Tum Tum Cycles sementara Tum2Cycles pula akan membantu daripada aspek kenderaan bagi skuad lumba basikal Brunei Darussalam sepanjang latihan di Kuala Lumpur.
Pihak lain yang turut sama terlibat dalam membantu skuad negara adalah Abraco Development yang membantu menyediakan makanan harian pelumba sebelum dan selepas latihan, Lof Bakery bagi penyediaan sarapan dan minum malam pelumba dan I-Sports Wear selaku pembekal pakaian pelumba untuk latihan dan perlumbaan.
Mengulas mengenai perkembangan para pelumba negara katanya barisan pelumba negara sudah ke kem latihan bagi Pra Sukan Asia Tenggara sebelum raya tempoh hari bagi menyertai fasa pertama dan akan bertolak semula ke sana bagi menyertai persiapan dan pendedahan fasa kedua dalam beberapa hari lagi.
Menurutnya meskipun kita baru dalam acara trek selepas penyertaan terakhir pada sukan Komanwel sebelum ini, beliau optimistik dengan penyertaan negara kali ini yang antaranya akan membariskan tujuh orang pelumba dalam kejohanan serantau tidak lama lagi.
“Kita tidak mahu turun-turun ayam dan sekadar pelengkap kepada penyertaan kali ini kerana pada kali ini kita berhasrat untuk menghabiskan perlumbaan dengan jaya atau kalah sekalipun dengan turun bertempur sebaik habis,” ujar Yafiz.
Beliau menambah, “Turunnya kita kali ini dengan persiapan yang sangat baik seperti yang dilakukan pada penyertaan di Singapura tahun lalu.”
Menurut Yafiz lagi momentum kecemerlangan sejak penyertaan itu dibawa sehingga kini dan menegaskan bahawa ia akan menjadi pemangkin untuk bersaing pada Sukan Asia Tenggara pada bulan Ogos nanti.