KAHERAH, 12 Jan – Lebih 500 daripada 596 orang ahli perundangan Mesir telah menandatangani ‘perakuan’ pemilihan semula Presiden Abdel-Fattah el-Sissi, bahkan sebelum beliau secara rasmi mengumumkan pencalonannya, menurut laporan media semalam.
El-Sissi dianggap hampir pasti akan bertanding dalam pilihan raya 26 hingga 28 Mac tahun ini dan bakal memenangi penggal kedua bagi tempoh selama empat tahun lagi. Setakat ini tidak ada calon yang boleh mendatangkan cabaran serius kepada jeneral yang telah menjadi presiden itu.
Seorang calon yang berpotensi mengumumkan minggu lalu untuk menarik diri dari bertanding; dua orang lagi telah menghadapi pendakwaan di mahkamah. Kebanyakan tokoh pembangkang sama ada di dalam penjara, tinggal di luar negara atau tidak aktif selepas tindakan keras awam terhadap pembantah sejak el-Sissi mengetuai tentera dalam penyingkiran presiden Islam 2013.
Di bawah perlembagaan, untuk melayakkan diri, mana-mana calon mesti mengumpul perakuan rasmi dari kira-kira 20 anggota parlimen yang dipilih atau sebagai alternatif 25,000 perakuan dari pengundi dengan minimum 1,000 dalam 15 dari 29 wilayah Mesir. Daripada menunggu el-Sissi mendapatkan perakuan, para ahli undangan telah terlebih dahulu memberikan perakuan mereka.
“Parlimen telah mencapai bilangan terbanyak dalam menyokong el-Sisi,” menurut tajuk utama dalam akhabar Al-Masry Al-Youm. Terdapat gambar yang memperlihatkan para ahli undangan yang tersenyum berdiri di tengah bulatan bersama salinan cadangan di tangan mereka.
Parlimen Mesir dipenuhi dengan para penyokong el-Sissi dan sejak pemilihannya bertindak lebih seperti dewan yang meluluskan.
Beratus-ratus iklan terpampang di seluruh Kaherah merayu el-Sissi agar bertanding. “Anda boleh membangunkannya”, adalah frasa yang menarik dari salah satu kempen seumpamanya, secara tidak langsung menyebutkan tumpuan presiden untuk memulihkan infrastruktur Mesir dan program beliau untuk memulihkan ekonomi yang terjejas dan membina projek-projek besar. – AP