Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Negara Brunei Darussalam telah menyedari implikasi penggunaan plastik sekali guna dan seterusnya mengambil langkah ke arah pengurangannya secara berterusan demi mengurangkan penjanaan sisa plastik dan pencemaran plastik.
Ini sejajar dengan amalan terbaik global iaitu mengikut hierarki pengurusan sisa buangan.
Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Bumi 2024, hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, sejak beberapa tahun kebelakangan kita telah menyaksikan pendekatan senegara giat dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dari agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pengusaha-pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mempromosikan inisiatif- inisiatif yang menjurus kepada pengurangan penggunaan barang-barang plastik sekali guna dan dalam masa yang sama menggalakkan konsep mengguna semula.
Salah satu contoh usaha kolaboratif berkenaan yang dapat dilihat baru-baru ini adalah perlaksanaan Kempen Melaratkan Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik (NPBE+) di Gerai Ramadan Belia di Stadium Negara Hassanal Bolkiah sepanjang Ramadan lalu.

Kempen sempena Hari Bumi itu juga merupakan kerjasama antara Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dengan Big BWN Project dan Zero Waste Brunei.
Ia antara lain bertujuan bagi menggalakkan para peniaga dan pengunjung untuk beralih kepada gaya hidup yang mampan bagi kepentingan alam sekitar dan generasi-generasi yang akan datang.
Sepanjang kempen tersebut, terlihat ramai pengunjung membawa beg guna semula mereka apabila membeli juadah penyungkaian.
Ini menggambarkan kefahaman dan kesedaran orang ramai tentang kebaikan menggunakan beg guna semula berbanding beg plastik sekali guna, namun terdapat juga segelintir individu yang masih memilih untuk menggunakan beg plastik sekali guna menyebabkan peniaga kembali menyediakan beg plastik di premis mereka.
Pada tahun ini, tema sambutan Hari Bumi sangat bertepatan dengan keperluan untuk menangani isu global dan nasional perihal plastik. Ia adalah seruan kepada semua individu untuk bersatu dalam penamatan bahan-bahan plastik demi kesihatan manusia dan planet.
Tema tahun ini juga menekankan pengurangan dalam penghasilan bahan plastik global kepada 60 peratus menjelang 2040 bagi mencapai matlamat utama dalam membina masa depan yang bebas plastik untuk generasi yang akan datang.
Bertemakan Planet vs Plastik, sambutan Hari Bumi 2024 memfokuskan kepada tiga matlamat iaitu kesedaran kesihatan, perubahan kepada permintaan dan penyelesaian yang inovatif.
Yang Berhormat Dato, dalam perutusannya turut menekankan komitmen dan sokongan semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pihak pengurusan acara, peniaga-peniaga dan orang awam adalah penting.
“Ia perlu diperkuatkan untuk memastikan setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan inisiatif ini sekali gus menyumbang kepada usaha negara untuk mencapai persekitaran yang lestari sejajar dengan Matlamat 2 Wawasan Brunei 2035,” jelasnya.
Di samping itu, komitmen negara di arena antarabangsa dalam menangani isu plastik turut dititikberatkan dengan penglibatan aktif Negara Brunei Darussalam dalam Intergovernmental Negotiating Committee yang diberi mandat untuk menggubal satu perjanjian global bagi menangani pencemaran plastik.
Ini seperti yang ditetapkan dalam resolusi 5/14 bertarikh 2 Mac 2022 bertajuk End Plastic Pollution: Towards an International Legally Binding Instrument yang dihasratkan untuk dimuktamadkan menjelang akhir 2024.
Ia menunjukkan kesungguhan dunia dalam sama-sama berganding bahu untuk mencapai kata sepakat dan jalan penyelesaian bagi masalah plastik yang tidak mengenal sempadan.
Tema sambutan itu bukan sahaja mengenai perlindungan alam sekitar, tetapi juga mengenai melindungi diri kita dan generasi yang akan datang.
Adalah penting bagi setiap lapisan masyarakat untuk menyemai dan memupuk rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar seperti yang dituntut di dalam agama Islam.

