Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokongan penyusuan susu ibu untuk semua

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun, dan aktiviti global yang dilancarkan pada tahun 1992 itu mempunyai tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat penyusuan susu ibu dan bagi mempromosikan persekitaran yang menyokong dan mengekalkan amalan penyusuan susu ibu.

    Tema sambutan pada tahun ini ialah Merapatkan Jurang: Sokongan Penyusuan Susu Ibu untuk Semua.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Minggu Penyususan Susu Ibu 2024 antara lain telah mengongsikan manfaat penyusuan susu ibu dan cabaran ibu minggu pertama selepas bersalin.

    MANFAAT SUSU IBU UNTUK ANAK DAMIT

    Penyusuan susu ibu adalah asas yang penting bagi kesihatan ibu dan anak damit, kerana susu ibu adalah pemakanan yang sangat unik dan sempurna yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh anak damit untuk pertumbuhan dan perkembangan yang optimum.

    Ianya juga mengandungi antibodi yang dapat membantu melindungi anak damit dari jangkitan penyakit, mengurangkan kekerapan dan keterukkan masalah cirit-birit, mengurangkan risiko jangkitan paru-paru dan telinga, mengelakkan karies gigi dan meloklusi gigi serta merangsang peningkatan tahap kecerdikan (IQ) kanak-kanak.

    Penyusuan susu ibu adalah asas yang penting bagi kesihatan ibu dan anak damit. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Selain itu, susu ibu lebih mudah dihadam oleh anak damit berbanding susu formula dan ia mengurangkan risiko sembelit.

    Amalan penyusuan susu ibu yang optimum mempunyai impak yang positif ke atas status kesihatan ibu dan kanak-kanak dalam jangka masa pendek dan panjang.

    Penyelidikan turut menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu memberikan manfaat kesihatan yang berpanjangan termasuk mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes.

    Dalam apa jua situasi, amalan penyusuan susu ibu adalah kaedah semula jadi yang terbaik dalam pemberian pemakanan anak damit dan kanak-kanak kecil, di samping mengeratkan jalinan kasih sayang di antara ibu dan anak.

    PEMBERIAN SECARA EKSKLUSIF SUSU IBU SEJAK LAHIR

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif sejak lahir sehingga enam bulan pertama.

    Dari umur enam bulan, kanak-kanak hendaklah diberikan makanan tambahan yang berkhasiat dan mencukupi sambil meneruskan penyusuan susu ibu sehingga umur dua tahun atau lebih.

    Ianya sesuai dengan tema tahun ini yang menekankan akan kepentingan sokongan di pelbagai peringkat untuk para ibu mengamalkan penyusuan susu ibu pada bila-bila masa, di mana sahaja.

    Penyusuan susu ibu memerlukan sokongan yang menyeluruh dan berterusan daripada semua pihak, termasuk keluarga, komuniti, tempat kerja dan kerajaan.

    Antara sokongan tersebut termasuk membentuk dasar yang menggalakkan penyusuan susu ibu, masyarakat yang boleh mewujudkan persekitaran mesra penyusuan susu ibu, sistem dan perkhidmatan kesihatan yang menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu.

    Di samping itu, ia juga memastikan ibu-ibu mendapat akses kepada sumber, maklumat dan sokongan yang diperlukan untuk mengamalkan penyusuan susu ibu dengan berjaya.

    PEMBERIAN SUSU IBU DARI SUDUT ISLAM

    Dari sudut pandangan Islam pula, penyusuan susu ibu adalah satu fitrah, sebagaimana dijelaskan pada ayat 233 Surah Al-Baqarah yang ertinya, ”Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

    KADAR PERATUS TERUS MENINGKAT

    Dalam perutusan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan kadar penyususan susu ibu secara eksklusif dari tahun 2011 hingga 2019 sejak pengenalan dasar peraturan cuti beranak pada tahun 2011.

    Pada tahun 2011, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif meningkat dari 29 peratus pada tahun 2011 kepada 47 peratus pada tahun 2019 dengan peningkatan sistem sokongan kesihatan.

    Beliau seterusnya menambah, ia termasuk aktiviti-aktiviti promosi penyusuan susu ibu yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan sebelum dan selepas melahirkan.

    Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap kadar penyusuan susu ibu di Negara Brunei Darussalam.

    Pada tahun 2023, kadar penyusuan susu ibu telah menurun ke 38 peratus di mana kadar tersebut adalah sangat membimbangkan dan tindakan perlu diambil dengan segera.

    Ke arah itu, Brunei Darussalam perlu mempertingkatkan semula sistem sokongan penyusuan susu ibu untuk mencapai sasaran penyusuan susu ibu secara eksklusif pada kadar 50 peratus menjelang tahun 2025 mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia – Global Nutrition Target 2025.

    DAPATAN KAJIAN, CABARAN IBU MINGGU PERTAMA LEPAS BERSALIN

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan kajian yang telah menunjukkan beberapa cabaran yang dihadapi dalam kalangan ibu terutamanya semasa minggu pertama selepas bersalin.

    “Perkara itu boleh ditangani dengan meningkatkan sokongan hands-on kepada para ibu yang baru melahirkan tentang penyusuan susu ibu,” tekannya.

    Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga akan memperkukuhkan lagi perlaksanaan Breastfeeding Friendly Hospital Initiative (BFHI) di seluruh perkhidmatan kesihatan ibu dan anak damit di Brunei Darussalam.

    “Ini adalah untuk memastikan setiap ibu mempunyai soko-ngan yang diperlukan, terutamanya pada peringkat awal sebaik sahaja melahirkan anak damit,” jelasnya.

    Sementara langkah-langkah inisiatif termasuk pembangunan kapasiti bagi profesional kesihatan untuk meningkatkan kemahiran serta kompetensi dalam memberi kaunseling penyusuan susu ibu dengan bersifat prihatin, pemedulian, empati, compassionate dan berpengetahuan.

    “Ini akan dapat membantu meningkatkan keyakinan dan memudahkan para ibu dalam memberikan permulaan yang terbaik kepada anak damitnya iaitu pemberian penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan,” tambahnya.

    Di samping itu, Kementerian Kesihatan menyambut baik dan menyokong cadangan bagi pembentukan kumpulan mother-to-mother support group dalam kalangan masyarakat untuk memastikan sokongan yang berterusan bagi penyusuan susu ibu.

    SOKONGAN DAN PERANAN SUAMI, KELUARGA DAN MAJIKAN

    Suami dan keluarga memainkan peranan penting bagi menjayakan amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu dengan boleh mempelajari asas-asas penyusuan susu ibu termasuk sokongan moral dan emosional.

    Selain dari keluarga, masyarakat juga perlu menyediakan persekitaran yang mesra agar para ibu boleh mengamalkan penyusuan susu ibu di mana-mana dengan selesa seperti menyediakan ruang penyusuan yang selamat dan bersih di bangunan-bangunan komersial dan di tempat awam.

    Sementara majikan pula memainkan peranan penting bagi mewujudkan suasana kerja yang menyokong penyusuan susu ibu dengan memastikan perlindungan cuti bersalin, menyediakan ruang dan kemudahan penyusuan yang selesa, dan tempat simpanan susu seperti peti sejuk serta jadual kerja yang fleksibel.

    Kementerian Kesihatan turut menyeru agar sokongan penyusuan susu ibu diberikan terhadap para ibu secara berterusan dari pelbagai peringkat.

    Semoga dengan sokongan semua lapisan masyarakat, kita dapat memastikan kesejahteraan anak damit dan kanak-kanak terjaga untuk menjana generasi yang sihat, keluarga yang kukuh dan pembangunan yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda