Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Berikutan penularan wabak koronavirus yang melanda beberapa buah negara pada masa ini termasuklah negara-negara jiran, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Solat Sunat Hajat dan Bacaan Doa Khas Tolak Bala di Surau Ad-Difa’ di kementerian itu, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan; pegawai dan anggota ABDB.
Solat khas yang ditunaikan dengan niat agar seluruh penduduk di negara ini terhindar daripada bala dan segala penyakit khasnya wabak koronavirus itu akan dilaksanakan secara berterusan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.
