Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dengan peperiksaan utama seperti Penilaian Sekolah Rendah, SPE dan ‘O’ Level bakal bermula tidak lama lagi, sekolah-sekolah di seluruh negara giat mengadakan majlis Solat Sunat Hajat, membaca surah Yasin dan doa khas bagi memohon keberkatan Allah SWT agar para pelajar mendapat keputusan cemerlang.
Majlis seumpamanya juga telah diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Tutong yang dianjurkan oleh gabungan lima buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Sekolah Rendah Birau, Sekolah Rendah Bakiau, Sekolah Rendah Batang Mitus dan Sekolah Rendah Kiudang.
Majlis tersebut melibatkan murid-murid Tahun 6 sekolah rendah, pelajar Tahun 8 dan 11 sekolah menengah, ibu bapa dan penjaga serta guru-guru yang beragama Islam.
Sebelum majlis ditutup, Guru Besar SR Kiudang, Awang Mohd Sofian bin Jais mewakili pengetua SM RIPAS dan guru-guru besar sekolah rendah yang terlibat telah mengambil kesempatan untuk berkongsi tip, nasihat dan motivasi untuk para pelajar.
Di Daerah Belait, lebih 140 orang pelajar yang diiringi oleh 14 orang guru dari pelbagai sekolah di daerah berkenaan telah menghadiri majlis Solat Sunat Hajat di Masjid Pekan Seria, hari ini.


Majlis yang dianjurkan oleh jawatankuasa takmir masjid berkenaan bukan sahaja diadakan untuk mempersiapkan para pelajar bagi peperiksaan ‘O’ Level yang bakal menjelang, malah juga memotivasikan dan mengaspirasikan para pelajar untuk membuat yang terbaik dalam peperiksaan masing-masing.
Antara sekolah yang terlibat dalam majlis itu ialah Sekolah St Angela, Sekolah St Margaret dan Sekolah Menengah Chung Ching.
Ceramah motivasi turut diadakan dengan mengetengahkan penceramah yang tidak asing lagi iaitu Pemangku Ketua Pendidikan Khas, Unit Pendidikan Khas, Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor.
Sementara itu, baru-baru ini, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) telah mengadakan Majlis Membaca Doa Khas bagi para pelajar Tahun 8 dan 11 yang akan menduduki Peperiksaan SPE, IGCSE dan BGCE ‘O’ Level 2019. Para pelajar Tahun 8 dan 11 hadir bersama ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Majlis ini yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) SMSSA itu diakhiri dengan penyampaian wakaf yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Baharin bin Haji Ibrahim kepada imam Masjid Kampung Salambigar.