Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solat Sunat Hajat seluruh negara

    Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R., Hajah Saemah Kepli & Wani Roslan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bagi memohon ke hadrat Allah SWT untuk kelancaran dan dipermudahkan apabila menduduki peperiksaan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengendalikan Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah khusus bagi pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan di keempat-empat daerah yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’ di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Di Daerah Brunei dan Muara, tiga buah sekolah digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP Yayasan iaitu Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun.

    Di Daerah Tutong pula, majlis berlangsung Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim.

    Seramai 133 orang pelajar terpilih dari Tahun 5, 6, 10 dan 11 diraikan setelah mengikuti kelas tuisyen di ketiga-tiga Pusat Tuisyen PIP Yayasan daerah berkenaan iaitu seramai 41 orang pelajar mengikuti kelas di Sekolah Menengah (SM) Sufri Bolkiah; 24 orang pelajar pula ditempatkan di SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan 68 orang pelajar telah menyertai kelas di SM Sayyidina ‘Othman.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom semasa menyertai Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’.
    Dato Paduka Eddie semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil-wakil sekolah yang digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP Yayasan di Daerah Belait.
    Dato Paduka Haji Hamiddon turut menghadiri majlis berkenaan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai.

    Manakala itu, seramai 83 orang pelajar yang mengikuti Kelas Tuisyen PIP Yayasan di Daerah Belait diraikan pada majlis yang berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

    Dua buah sekolah telah digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP Yayasan di daerah berkenaan iaitu SM PJN Pg Haji Abu Bakar seramai 46 orang pelajar dan Maktab Anthony Abell Seria seramai 37 orang.

    Di Daerah Temburong pula, majlis berkenaan telah diadakan di Kem Latihan PKBN.

    Turut hadir pada majlis di keempat-empat daerah ialah pegawai-pegawai Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah yang terlibat.

    Majlis-majlis berkenaan juga menyaksikan tetamu-tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan Perkhemahan Motivasi PIP Yayasan yang telah diadakan pada 14 hingga 16 September di Kem Latihan PKBN, Daerah Temburong dan sijil penghargaan kepada sekolah-sekolah yang digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP Yayasan di setiap daerah.

    Menurut kenyataan yang diberikan, kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

    Selain itu, mata pelajaran Al-Quran dan amali ugama juga diserapkan dalam program PIP ini bermula pada tahun 2014 yang dinamakan dengan Projek Tahsin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda