Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solekan minimalis serlahkan keanggunan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Aina

    Sederhana tetapi menawan! Begitulah yang mampu penulis katakan saat menyaksikan hasil sentuhan gerak-geri tangan insan ini dalam merias wajah pelanggannya.

    Sentuhan penuh ketelitian walaupun kelihatan bersahaja dan tenang namun pastinya solekan gaya minimalis menjadi konsep pilihan karyanya yang hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dengan sempurna lebih-lebih lagi jika tidak disulam dengan jiwa kecintaan padanya.

    Lebih dikenali dengan panggilan Aina atau nama sebenarnya Dayang Nur Aina binti Simat, memulakan kerjayanya sepenuh masa sebagai jurusolek tempatan sejak bulan Disember 2014 lalu menerusi perkhidmatan Aina Makeup Brunei.

    Suri rumah tangga berjiwa seni ini yang menjalankan perkhidmatan merias khusus bagi kaum hawa secara persendirian bagi melengkapkan seri keanggunan seseorang wanita semasa berlangsungnya detik hari-hari bersejarah seperti majlis perkahwinan, mandi belawat dan sesi penggambaran.

    Video tutorial asah bakat

    Aina, 34, menyatakan penglibatannya bermula sejak dahulu lagi, daripada minat mendalam, semakin hari semakin mekar sehingga membangkitkan semangat keusahawanan dalam bidang tersebut sehingga ke hari ini.

    Sederhana tetapi menawan! Begitulah karya sentuhan gerak-geri tangan Aina dalam merias wajah pelanggannya.

    Sentuhan penuh ketenangan dan bersahaja namun pastinya solekan gaya minimalis menjadi konsep pilihan karya Aina yang hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
    Aina semasa mengikuti kursus solekan tunjuk ajar daripada salah seorang jurusolek tanah air yang lebih profesional.

    Rajin mengasah bakat solekan melalui video tutorial dari media sosial, menambahkan lagi minatnya dalam kerjaya tersebut.

    Selain itu, beliau turut memantapkan lagi ilmu seni merias wajah ini melalui beberapa kursus solekan daripada seorang jurusolek tanah air yang lebih profesional.

    Setiap sentuhan perlu ada etika

    Menyentuh mengenai etika dalam meniti seni solekan ini, Aina menekankan bahawa alat-alat solekan mestilah sentiasa dicuci selepas digunakan dan begitu juga memastikan bahan-bahan solekan masih baik dan tidak habis tempohnya.

    Dalam pada itu, penggunaan penutup mulut dan hidung juga sering diamalkan ketika melaksanakan sesi merias para pelanggannya, di samping sentiasa mengamalkan kebersihan tangan sebelum dan selepas bekerja.

    Kesetiaan mereka menjadi kenangan manis

    Dengan rasa penuh kesyukuran atas limpahan rezeki yang diperolehi selama meniti perkhidmatan seni solekan ini, Aina mengungkapkan bahawa salah satu kenangan manis itu ialah kesetiaan pelanggan yang berpuas hati dengan hasil solekannya.

    “Cabaran itu memang lumrah dalam apa sahaja kerjaya yang kita tempuhi, namun dari situlah ia mendidik diri untuk menjadi lebih baik lagi dari semasa ke semasa.

    Dengan izin Allah SWT, selagi masih diberikan kudrat dan kesihatan, saya tetap berusaha menceburi bidang ini dengan bersungguh-sungguh di samping sokongan suami dan ahli keluarga, rakan-rakan serta para pelanggan, merekalah pemangkin diri ini sehingga ke detik ini,” jelasnya dengan nada penuh ketulusan yang turut menasihatkan agar anak-anak muda yang memiliki minat yang serupa untuk berani menampilkan kemahiran yang ada dengan bersungguh-sungguh tanpa berputus asa semasa mengakhiri sesi pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda