JAKARTA, 1 Dis – Sebuah bandar Indonesia fikir ia telah membuat sesuatu yang baik kepada setengah juta penduduknya dengan memberikan internet percuma di pejabat-pejabat kerajaan.
Tetapi beberapa orang pegawai di Solo yang berang telah mengurangkan kesemua akses itu selepas mendapati sebahagian pengguna menggunakannya untuk pengedaran dadah, melihat pornografi atau pelacuran atas talian.
Akses WiFi telah ditutup dari jam 6 petang hingga 4 pagi, dengan harapan ia dapat menggelakkan pengguna yang berniat jahat daripada menggunakannya di waktu malam.
Pengurangan jam itu juga dibuat selepas menerima beberap laporan daripada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berkumpul di kawasan pejabat-pejabat daerah hingga malam untuk menggunakan internet percuma itu.
Pengurangan itu sudah berlaku beberapa bulan tetapi ini kali pertama ia dimaklumkan kepada awam minggu ini.
“WiFi percuma boleh disalahgunakan untuk pelacuran atas talian,” kata Taufan Redina, salah seorang pegawai di jabatan maklumat dan telekomunikasi Solo.
“Itulah yang kami dapati setakat ini,” katanya kepada AFP, dengan menambah bahawa ‘urus niaga narkotik’ dan beberapa perjanjian mencurigakan yang lain juga dikesan.
Ia masih belum jelas bagaimana kerajaan setempat tahu apa yang pengguna lakukan dengan akses WiFi percuma mereka.
Pornografi adalah salah di Indonesia, negara dengan majoriti Islam terbesar dunia, meskipun penapisannya ke atas internet masih belum mampu mengekang kesemua laman sesawang mengenainya. – AFP