HONIARA, 26 NOV – Pulau Solomon melaksanakan perintah berkurung malam selepas rusuhan memasuki hari ketiga di ibu negara, Honiara hari ini, dengan kediaman perdana menteri dan sebahagian besar kawasan di bandar itu musnah.
Polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh yang berarak ke rumah perdana menteri yang terkepung, Sogavare di pinggir pantai bandar yang lazimnya sunyi.
Perusuh juga membakar sekurang-kurangnya sebuah bangunan berhampiran sebelum bergerak ke pusat bandar, menurut wartawan AFP.
Pengaman Australia terdiri daripada polis dan askar kemudian bertindak memulihkan keadaan, melindungi infrastruktur penting dan memberikan perlindungan di jalan-jalan.
Pihak berkuasa tempatan turut bertindak meredakan keganasan dengan mengisytiharkan perintah berkurung malam di Honiara ketika malam menjelma, yang akan terus dikuatkuasakan ‘sehinggalah ia dibatalkan kelak.’
Perusuh sebelum itu tidak mengendahkan perintah berkurung awal selama 36 jam, dengan ribuan orang – membawa kapak dan parang – merayau-rayau di bandar Chinatown, Point Cruz dan daerah perniagaan, menurut koresponden AFP yang berada di tempat kejadian. – AFP
