MANCHESTER, 5 Mei – Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran Manchester United akan terus merosot dalam kedudukan Liga Perdana jika pemainnya gagal memulihkan prestasi dan boleh melupakan trofi kejuaraan sekali lagi musim depan.
Solskjaer percaya Watford, Everton dan Leicester antara pasukan yang mampu memintas United dan menduduki tangga enam teratas dalam masa 12 bulan.
Pengurus United itu menganggap skuadnya gagal menepati potensi mereka musim ini apabila menduduki tangga keenam Liga Perdana dan berdepan misi sukar untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Solskjaer yang skuadnya akan menentang kelab telah pun tersingkir, Huddersfield malam ini tahu dia menggalas tugas berat mengubah nasib United yang gagal menjulang trofi liga sejak enam tahun lalu dan bekas penyerang United itu tampak enggan menaruh harapan tinggi musim depan.
Malah dia kini lebih berminat mahu memastikan kelabnya yang ketinggalan 29 mata di belakang pendahulu, Liverpool tidak merosot lebih jauh ke bawah.
Pengurus dari Norway itu berusaha memperkasakan skuadnya menjelang penamat musim tetapi tidak menjangkakan mampu mencabar City atau Liverpool untuk gelaran takhta musim depan.
“Ia tidak realistik,” katanya. “Sudah tentu saya optimis tetapi saya tidak fikir ia realistik kerana dua pasukan teratas jauh meninggalkan kami. “Kami perlu memastikan jurang itu mengecil dan meningkat naik tetapi pada masa beberapa kelab besar mahu menjadi enam terbaik.
“Anda boleh lihat Leicester, Everton, Watford, mungkin juga Newcastle yang mahu mengejar kami tetapi kami perlu pastikan yang kami mengejar mereka di atas. – AFP