Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solskjaer buru trofi liga

    LONDON, 29 Mac – Ole Gunnar Solskjaer dengan mengimpikan untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas disahkan menjadi pengurus tetap Manchester United kelmarin dan berkata, kelab tidak mahu menunggu lama lagi.

    Pengurus dari Norway itu diberikan perjanjian tiga tahun selepas mengubah nasib United sejak menjadi pengurus sementara pada Disember lalu dengan mencatat rekod 14 menang dalam 19 perlawanan.

    Dalam tempoh yang singkat itu, Solskjaer membantu United kembali bersaing dalam merebut kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan membuat persediaan untuk perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Barcelona bulan depan.

    Meskipun dengan rekod menakjubkan itu, United masih tercicir 18 mata di belakang Liverpool dan 16 mata di belakang Manchester City.

    Sebagai pemain, Solskjaer merangkul enam gelaran dalam tempoh 11 tahun di Old Trafford dan percaya ia adalah tugasnya untuk membantu United menjuarai lebih banyak gelaran selepas gagal merangkul gelaran liga sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.

    “Merangkul trofi Liga Perdana Inggeris menjadi sasaran kami, yang biasa kami lalui dan sudah banyak kali kami lakukan,” tambahnya.

    “Kami tidak mahu menunggu lama lagi tetapi kami perlu melakukan satu demi satu. Ia tidak akan berlaku dengan cepat, merapatkan jurang 18 mata di belakang pasukan teratas.”

    Pengurus United itu berkata dia telah mengadakan perbincangan dengan pihak kelab mengenai bagaimana membantu kelab itu.

    “Ia tidak bermaksud berapa banyak jumlah duit atau pemain,” katanya. “Kami duduk dan berbincang tetapi sekarang ia sudah jelas mengenai apa yang perlu kami buat kerana kami akan beraksi pada musim panas nanti.”

    Solskjaer yang menjaringkan 126 gol dalam 366 penampilan di United, pernah menjadi wira selepas dia menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir yang menyaksikan United menjuarai Liga Juara-Juara 1999 sekali gus melengkapkan merangkul tiga kejuaraan dalam satu musim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda