Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solunar pengaruhi hasil memancing?

    Solunar merupakan antara topik yang hangat diperkatakan dalam kalangan komuniti pemancing. Ramai pemancing-pemancing berpengalaman terutama sekali nelayan berpegang teguh dengan strategi kiraan fasa bulan untuk turun padang dan mendapatkan hasil yang lumayan.

    Oleh yang demikian, banyak majalah-majalah, laman-laman web dan aplikasi dalam talian pancing menyediakan kalendar fasa bulan di dalamnya untuk rujukan ramai. Walau bagaimanapun sejauh manakah kebenaran di sebaliknya atau ia hanya sekadar horoskop untuk ikan yang tahyul semata-mata.

    Pada tahun 1926, seorang pengembara dan penggiat tegar dalam arena pancingan layang, John Alden Knight memperkenalkan satu teori yang aneh. Semasa lapang, beliau suka mempelajari mengenai kepercayaan-kepercayaan dan budaya rakyat yang berkaitan dengan memancing dan berburu.

    Knight bukan sahaja belajar mengenai kepercayaan-kepercayaan tersebut malahan membuat kajian mengenai kaitannya dengan perilaku dan tabiat pemakanan haiwan.

    Daripada kajian-kajian yang dijalankannya itu, Knight telah meneliti sebanyak 33 faktor yang memberi kesan ke atas perilaku dan tabiat pemakanan ikan dan haiwan. Daripada 33 faktor itu beliau menolak semua teori melainkan berdasarkan gabungan tiga faktor sahaja, iaitu matahari, pasang surut dan bulan.

    Secara teorinya ikan akan lebih aktif ketika tempoh air pasang surut besar yang berlaku dua kali dalam sebulan, ketika bulan baru dan bulan penuh, menjadikannya hari-hari terbaik untuk turun memancing. – Agensi

    Terdapat empat tempoh bulan (lunar period) dalam masa satu hari – dua major dan dua minor. Tempoh major berlangsung selama dua jam, iaitu bermula dari bulan tegak di atas kepala (lunar transit) atau di ‘bawah kaki’. Manakala minor pula berlangsung selama satu jam ketika bulan timbul dan terbenam. Mengikut teorinya ikan adalah lebih aktif ketika empat waktu tersebut.

    Meskipun peningkatan aktiviti ikan tidak bermaksud ikan pasti akan memakan umpan pada waktu-waktu tersebut, namun disebabkan ia adalah waktu ikan aktif mencari makan, ia merupakan waktu yang terbaik untuk memancing.

    Selain daripada itu fasa bulan juga memainkan peranan penting dalam pemilihan hari terbaik untuk turun ke laut. Secara amnya fasa bulan dapat dibahagikan kepada empat fasa, anak bulan atau bulan baharu, suku pertama, bulan penuh dan suku akhir. Lebih senang untuk mengetahui bila bulan akan berada pada fasa-fasa ini dengan menggunakan kalendar Islam.

    Secara teorinya, ikan akan lebih aktif ketika tempoh air pasang surut besar yang berlaku dua kali dalam sebulan, ketika bulan baharu dan bulan mengambang, menjadikannya hari-hari terbaik untuk turun memancing.

    Meskipun begitu tidak semua sebulat suara bersetuju dengan pendapat tersebut. Penulis sendiri lebih memilih untuk turun memancing pada lingkungan tiga hari fasa suku pertama dan suku akhir bulan, namun itu sekadar atas alasan peribadi yang mana penulis lebih suka memancing ketika arus bergerak lebih perlahan demi keselesaan penulis itu sendiri. ‘Haliwat rasanya kan mengail aing bangat atu…’

    Ada yang berpendapat waktu malam ketika bulan penuh adalah waktu terbaik untuk memancing dan mereka mengatakan ikan-ikan terbesar yang mereka peroleh kebanyakannya adalah ketika memancing pada waktu malam ketika bulan mengambang.

    Antara teorinya, cahaya bulan purnama menarik perhatian ikan-ikan kecil bermain di permukaan pada waktu malam seperti lampu yang seterusnya akan mengundang kehadiran ikan-ikan besar untuk meng-hendap, bahkan cahaya tersebut juga membolehkan ikan dapat melihat dengan lebih senang. Jika diaplikasikan secara logiknya teori ini, ini bermakna pada fasa awal bulan, waktu terbaik memancing adalah pada waktu siang kerana ikan berkemungkinan tidak akan aktif memburu dalam keadaan malam yang terlalu gelap gelita.

    Mengikut kajian saintifik, tempoh mengawan banyak spesies bergantung pada air masin selaras dengan pergerakan pasang surut di mana arus deras air pasang akan membawa larva-larva ikan ke kawasan muara yang lebih cetek dan lebih selamat. Selain itu pergerakan arus deras juga akan menyebabkan makanan yang ada di atas permukaan dasar laut ‘berterbangan’, menarik ikan-ikan kecil untuk berpesta ria dan seterusnya mengundang ikan-ikan pemangsa.

    Sememangnya adalah diketahui bulan mempengaruhi air pasang surut yang seterusnya juga akan mempengaruhi hidupan dalam air. Namun begitu ia bukanlah satu-satunya faktor penentu untuk memperoleh kejayaan dalam trip memancing kita, lebih banyak lagi faktor-faktor yang dapat memberikan impak yang lebih besar seperti cuaca, suhu air dan lain-lain lagi.

    Oleh itu janganlah sampai kita menunda trip memancing yang sudah lama ditunggu-tunggu hanya kerana melihat fasa bulan ‘tidak sesuai’ sedangkan tangan sudah ‘kajar-kajar’ hendak beraksi dan berbulan-bulan sibuk dengan pekerjaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda