SOM-SDP komited terajui SDG

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, kelmarin, menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Komanwel mengenai Sukan untuk Pembangunan dan Keamanan (SOM-SDP) melalui sidang video.

Menurut kenyataan KKBS, mesyuarat yang berlangsung pada 8 dan 9 November itu telah dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Pembangunan Dasar Sosial, Lembaga Pengarah Eko-nomi, Belia dan Pembangunan Mapan (EYSD) Komanwel, Layne Robinson dan dihadiri oleh negara-negara anggota Komanwel lain.

Tema mesyuarat tersebut ialah Mempercepatkan Pelaksanaan Dasar Sukan untuk Pembangunan dan Keamanan (SDP) demi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berfungsi untuk memajukan peluang-peluang dan inovasi ke arah SDP yang telah diulangi semasa Forum Menteri Komanwel 2020.

Penganjuran mesyuarat tahun ini mencerminkan momentum negara anggota Komanwel dalam menerajui SDG.

Semasa mesyuarat itu, para pegawai kanan Komanwel bertukar-tukar pandangan mengenai usaha kolektif Komanwel ke arah nilai nyata sukan dalam tadbir urus, integriti, keterangkuman dan perlindungan hak asasi manusia terutamanya dalam konteks kecemasan kesihatan global yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan COVID-19.

Antara tema yang dibincangkan adalah mengenai pengiktirafan sumbangan sukan yang semakin meningkat dalam pembangunan mampan dan keamanan dalam menggalakkan toleransi dan rasa hormat dalam kalangan individu dan masyarakat termasuk wanita dan anak muda serta kesihatan, pendidikan dan keterangkuman sosial.

Mesyuarat juga membincangkan pengalaman dan amalan terbaik terutamanya mengenai peluang yang timbul daripada pandemik COVID-19.

Turut hadir ialah para pegawai kanan KKBS dan Jabatan Belia dan Sukan.

Pengiran Mohammad Amirrizal mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan KKBS