Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SOME ke-43 labuh tirai, pelbagai agenda dipersetujui

    KUCHING, 18 JUN – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 (SOME) selama tiga hari yang bermula Isnin lalu melabuhkan tirainya hari ini dengan pelbagai agenda berjaya dimuktamadkan, melibatkan penyertaan kira-kira 250 delegasi.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, turut merangkumi pelbagai sesi perbincangan dan konsultasi berkaitan tenaga melibatkan pegawai kanan negara anggota ASEAN.

    Antara yang dimuktamadkan ialah dua agenda utama, iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa Kedua bagi tempoh 2026–2030.

    Bercakap pada sidang media, Mad Zaidi berkata mesyuarat juga mencapai kata sepakat berhubung kemajuan pelaksanaan enam Keutamaan Tahunan sektor tenaga bagi 2025.

    Antaranya termasuk penyediaan rangka kerja pembangunan kabel dasar laut, penandatanganan Perjanjian Pengganti kepada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN Mengenai Keselamatan Petroleum (APSA), serta pelancaran Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan untuk Bangunan.

    Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah penganjuran mesyuarat itu turut dilihat mampu memberi impak positif kepada negeri tersebut, khususnya dalam pembangunan sektor tenaga.

    Ini berikutan minat yang ditunjukkan para delegasi terhadap potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga boleh baharu yang kaya dengan sumber semula jadi serta komitmen kukuh terhadap pembangunan tenaga mampan.

    Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerjasama antarabangsa amat penting bagi ASEAN dalam merealisasikan masa depan tenaga yang mampan, memandangkan aspirasi tersebut memerlukan penerapan teknologi inovatif dan pemantapan infrastruktur tenaga.

    “Sarawak dijangka memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif serantau, khususnya dalam pembangunan tenaga hidro dan tenaga hijau,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam alu-aluan untuk para delegasi mesyuarat berkenaan. – Bernama

    Datuk Mad Zaidi Mohd Karli (tujuh, kiri) bergandingan tangan dengan pegawai kanan tenaga ASEAN sempena Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 (SOME) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda