Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Mesyuarat Berkaitan Kali ke-21 (ASEAN SOMRDPE) telah melabuhkan tirainya, kelmarin, setelah berlangsung selama tiga hari bermula 12 November di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Mesyuarat tersebut telah didahului dengan Forum Perkongsian Orang Awam-Swasta ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-13 (ASEAN PPP RDPE) pada 12 November dan seterusnya disambung dengan Mesyuarat ASEAN SOMRDPE pada hari kedua, kemudian pada hari ketiga diteruskan dengan Mesyuarat SOMRDPE+3.
Mesyuarat ASEAN SOMRDPE dan SOMRDPE+3 telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku Pengerusi SOMRDPE.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, San Lwiin, pegawai-pegawai dari negara-negara anggota ASEAN dan negara Plus Three, Sekretariat ASEAN serta pegawai-pegawai dari KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Mesyuarat membawa tema, Youths as Agents of Change Towards a Resilient ASEAN: Strengthening the Role of Youths in Poverty Eradication and Rural Development, memberi pengiktirafan dan memperkasakan golongan muda dalam menangani pembasmian kemiskinan dan cabaran pembangunan luar bandar bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.
KKBS turut menghoskan majlis makan malam bagi meraikan kedatangan ketua-ketua delegasi dari negara-negara ASEAN yang turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, yang berlangsung di Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, 12 November lalu.
Delegasi juga dibawa melawat ke Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kampung Tanah Jambu untuk melihat kursus-kursus yang yang ditawarkan kepada belia dan komuniti.