LONDON, 6 Nov – Jaringan separuh masa kedua menerusi Son Heung-Min dan penampilan pertama penjaga gol Paulo Gazzaniga membantu Tottenham Hotspur untuk memenangi perlawanan mendebarkan Liga Perdana 1-0 ke atas kelab tercorot, Crystal Palace dalam persaingan derbi London yang diadakan di Stadium Wembley.
Tetapi pasukan kendalian Mauricio Pochettino yang dibelenggu kecederaan gagal untuk mengulangi kemenangan bergaya 3-1 yang tidak akan dilupakan pada Rabu lalu ke atas Real Madrid dalam Liga Juara-Juara dan pemburu gelaran tersebut bernasib baik untuk mencatatkan tiga mata penuh.
Spurs tanpa kelibat penjaga gol Hugo Lloris (kecederaan paha) dan Michel Vorm (lutut) memastikan Gazzaniga membuat kemunculannya.
Tetapi meskipun permulaan yang goyah, pemain dari Argentina itu membuat beberapa penyelamat dan pengurus Spurs yang merasa gembira, Pochettino berkata: “Ia adalah perlawanan yang sukar bagi kami selepas Rabu lalu. Palace begitu padat, sukar dan beraksi menggunakan serangan balas.
“Kami mengalami beberapa masalah selepas perlawanan Madrid dan sebab itu mengapa saya merasa gembira dengan kejayaan itu. Pada akhirnya saya gembira dengan tiga mata penting yang diperolehi.”
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P20-C_071117.jpg)
Kembali kepada Gazzaniga, dia menambah: “Saya merasa gembira bagi beberapa pemain berbeza yang beraksi, seperti Paulo, yang beraksi dengan baik. Dia adalah seorang pilihan yang luar biasa sebagai penjaga gawang.”
Toby Alderweireld dan Dele Alli (kedua-duanya mengalami masalah hamstring) adalah di antara mereka yang direhatkan bagi pasukan Spurs, tetapi Danny Rose membuat aksi pertamanya dalam Liga Perdana sejak Jauari lalu.
Ia adalah Palace yang memberikan tekanan ke atas Gazzaniga dengan segera selepas dia gagal untuk menangkap hantaran lintang Wilfried Zaha tetapi Mamadou Sakho gagal untuk mengambil kesempatan tersebut.
Pada sudut bertentangan, voli menerusi Harry Kane kekurangan ketajaman untuk menewaskan penjaga gol Palace, Julian Speroni. – AFP