Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Son Heung-min bakal pecah rekod untuk Korea Selatan

    SEOUL, 9 OKT – Kapten Korea Selatan, Son Heung-min bakal memecahkan rekod penampilan terbanyak bagi pasukan kebangsaan lelaki apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Brazil pada Jumaat ini.

    Penyerang Los Angeles FC itu dijangka meraih penampilan ke-137 dalam aksi persahabatan bertaraf tinggi di Seoul, sebagai persediaan menjelang Piala Dunia di Amerika Utara tahun depan.

    Korea Selatan dan Brazil kedua-duanya telah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2026, yang akan menjadi Piala Dunia keempat buat pemain berusia 33 tahun itu.

    Bekas kapten Tottenham itu, yang berpindah ke Major League Soccer pada Ogos lalu, kini berkongsi rekod 136 penampilan bersama bekas pertahanan Hong Myung-bo dan bekas penyerang Cha Bum-kun.

    Son akan memecahkan rekod Cha dan Hong, yang kini merupakan jurulatih Korea Selatan, sekiranya beliau diturunkan di Stadium Piala Dunia Seoul menentang pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu.

    Jika tidak bermain pada perlawanan tersebut, beliau akan berpeluang melakukannya pada aksi di laman sendiri menentang Paraguay pada Selasa, yang turut akan disertai acara khas memperingati pencapaian tersebut.

    Son membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada Disember 2010 dan telah menjaringkan 53 gol.

    Brazil sebelum ini menewaskan Korea Selatan 4-1 pada pertemuan mereka di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022. – AFP

    Son Heung-min dilihat melakukan rutin pemanas badan sebelum separuh masa pertama menentang Atlanta United di Stadium BMO pada 5 Oktober di Los Angeles, California. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda