SEOUL, 9 OKT – Kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min bersedia untuk memecahkan rekod negaranya untuk penampilan terbanyak untuk pasukan bola sepak apabila mereka menjadi tuan rumah bertemu Brazil esok.
Penyerang Los Angeles FC itu bersedia untuk memenangi cap ke-137 dalam perlawanan persahabatan di Seoul, sebagai persiapan skuda menjelang Piala Dunia di Amerika Utara tahun depan.
Korea Selatan dan Brazil telah layak ke pusingan akhir 2026, yang akan menjadi penampilan dalam acara Piala Dunia kali keempat bagi Son berusia 33 tahun itu.
Bekas kapten Tottenham itu yang berpindah ke Major League Soccer Ogos lalu, kini mencatat rekod sama dengan bekas pemain pertahanan, Hong Myung-bo dan bekas penyerang, Cha Bum-kun dengan 136 perlawanan untuk Korea Selatan.
Son akan mengatasi Cha dan Hong yang kini menjadi jurulatih Korea Selatan sekiranya diturunkan di Stadium Piala Dunia Seoul menentang Brazil kendalian Carlo Ancelotti.
Jika dia tidak diturunkan, dia tetap mempunyai peluang sekali lagi di tempat sendiri menentang Paraguay Selasa nanti.
Son telah membuat penampilan sulung antarabangsa sejak Disember 2010 dan telah menjaringkan 53 gol.
Terdahulu, Brazil membelasah Korea Selatan 4-1 dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia Qatar 2022. – AFP


